PENUBUHAN Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB) yang mencecah 23 tahun hari ini mencerminkan transformasi sebuah institusi pendidikan yang terus berkembang seiring dengan perubahan keperluan masyarakat, industri dan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali berkata, transformasi itu menyaksikan institusi tersebut kini memiliki 34,049 pelajar di tujuh lokasi dan melahirkan lebih 83,000 lepasan sejak ditubuhkan pada 2003.

"Angka ini bukan sekadar statistik. Di sebalik setiap angka itu ada individu, keluarga dan kehidupan yang berubah melalui peluang pendidikan yang disediakan.

"Usia 23 tahun KPTM bukan sekadar mengukur tempoh penubuhan organisasi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan ekosistem pendidikan yang bermula sejak 1983," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

- Advertisement / Iklan -

Radzuan berkata, perkembangan daripada empat kampus pada peringkat awal kepada enam kampus dan sebuah universiti pada masa ini selari dengan perubahan landskap pendidikan serta pasaran pekerjaan.

Enam kampus KPTM beroperasi di Bangi, Selangor; Alor Setar, Kedah; Kuantan, Pahang; Ipoh, Perak; Kota Bharu, Kelantan dan Batu Pahat, Johor selain Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Kuala Lumpur.

- Advertisement / Iklan -

Radzuan berkata, dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, KPTM memberikan penekanan terhadap kerelevanan program pengajian dengan keperluan masa depan termasuk penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, kurikulum dan pendekatan pembelajaran perlu dilaraskan agar lepasan institusi pendidikan itu mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja global.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata hubungan dengan pemain industri dan rakan akademik antarabangsa akan terus diperkukuh bagi memberikan pendedahan lebih luas kepada pelajar.

Dalam pada itu, Radzuan berkata, KPTM bakal memperkukuh agenda pendidikan antarabangsa menerusi pembukaan Kampus Cyberjaya dengan pengambilan dijangka bermula pada Januari 2027.

Kampus itu akan menawarkan program Bachelor of Arts (Honours) in Accounting and Finance (BAAF) dengan kerjasama Dublin Business School (DBS), Ireland yang terjalin sejak 2013 dan kini memasuki fasa baharu melalui pelaksanaan menggunakan konsep Mirror Programme.

Beliau berkata, melalui pendekatan itu, pelajar berpeluang mengikuti program bertaraf antarabangsa di Malaysia, sekali gus memberikan pilihan serta fleksibiliti yang lebih luas dalam mendapatkan pendidikan berorientasikan global.

Radzuan berkata, Kampus Cyberjaya juga dilihat sebagai hab baharu bagi penawaran program antarabangsa, khususnya dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan yang mempunyai pendedahan global serta memenuhi keperluan industri.

"Bagi KPTM, ini bukan sekadar pembukaan sebuah kampus baharu. Ia simbol kepada arah tujuan kita, iaitu lebih terbuka kepada kerjasama global, lebih dekat dengan industri dan lebih bersedia memenuhi keperluan generasi akan datang," katanya.

Maklumat lanjut mengenai institusi berkenaan boleh didapati di www.kptm.edu.my. - Bernama