UniMAP nak 80 peratus pensyarah ada PhD, jaringan ASEAN diperkasa
UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) menyasarkan 80 peratus tenaga akademiknya memiliki kelayakan Doktor Falsafah (PhD) atau setara bagi memperkukuh kualiti akademik dan keupayaan universiti pada peringkat antarabangsa, khususnya di rantau ASEAN.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah berdasarkan Pencapaian Objektif Kualiti 2024, sebanyak 75.6 peratus pensyarah UniMAP memiliki kelayakan PhD atau setara, melepasi sasaran 75 peratus yang ditetapkan.
Baginda selaku Canselor UniMAP bertitah peningkatan kualiti tenaga akademik antara aspek penting yang terus diberikan perhatian bagi memastikan kekuatan pendidikan berorientasikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disokong tenaga pengajar berkemahiran tinggi.
"UniMAP bukan sahaja memberi penekanan kepada jumlah tenaga akademik, tetapi turut memastikan kapasiti tenaga pengajar berada pada tahap yang mampu menyokong pengalaman pembelajaran mahasiswa," titah baginda semasa berangkat ke Duy Tan University (DTU) di sini sempena International Leadership Mobility (ILM) UniMAP.
Yang turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor 1 UniMAP dan anakanda Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail merangkap Pro Canselor 2 UniMAP serta Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Ketibaan delegasi ILM UniMAP yang diketuai Tuanku Syed Faizuddin Putra disambut Vice Provost of DTU Assoc Prof Dr Nguyen Gia Nhu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Teknologi Assoc Prof Dr Vu Duong dan Ketua Bahagian Kerjasama dan Pemula Dr Nguyen Duc Hien.
Selain itu, baginda bertitah kekuatan UniMAP turut diterjemahkan menerusi pencapaian akademik pelajar, apabila 60.2 peratus pelajar kejuruteraan, teknologi kejuruteraan (77.3 peratus) dan teknologi (96.5 peratus) memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.00 dan ke atas pada 2024.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pencapaian sama turut direkodkan bagi pelajar Diploma Kejuruteraan dengan 67 peratus dan 95 peratus pelajar Komunikasi dan Perniagaan masing-masing mencapai CGPA 3.00 dan ke atas.
"Data ini memberikan gambaran kekuatan UniMAP bukan hanya terletak pada orientasi TVET dan kebolehpasaran graduan, tetapi turut disokong oleh kualiti tenaga akademik serta pencapaian penuntut," titah baginda.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Profesor Dr Shahriman Abu Bakar berkata UniMAP berhasrat memperluas jaringan akademik dan penyelidikan di rantau ASEAN menerusi penerokaan peluang kerjasama dengan DTU.
Beliau berkata, UniMAP menggalakkan kerjasama penyelidikan serantau melalui geran ASEAN, penganjuran kolokium serta pertukaran tenaga akademik dan penuntut, sejajar dengan keperluan memperkukuh jaringan pendidikan tinggi dalam kalangan negara ASEAN.
"UniMAP berjaya memperoleh RM28 juta geran penyelidikan pada tahun lepas melalui kerjasama dengan pelbagai agensi, industri serta universiti luar negara.
"Pada masa ini, peluang mendapatkan geran serantau ASEAN juga terbuka dan kerjasama penyelidikan tidak lagi terhad dalam Malaysia, malah sangat digalakkan untuk melibatkan rakan strategik di rantau ini," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata UniMAP mengalu-alukan DTU untuk bersama-sama meneroka peluang memohon geran penyelidikan dan melaksanakan projek yang memberikan manfaat kepada komuniti serta industri di kedua-dua negara, khususnya di Perlis dan Da Nang.
Beliau berkata antara bidang berpotensi untuk diterokai termasuk kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan, pendidikan, komunikasi serta kelestarian.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja dapat memperluas jaringan antarabangsa UniMAP, malah membuka ruang kepada penyelidik dan mahasiswa untuk terlibat dalam penyelesaian isu sebenar yang berkaitan dengan keperluan industri serta masyarakat di rantau ASEAN. - Bernama
