Calon PALAPES ke Angkatan Tetap, ujian tertentu dikecualikan
CALON Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang masih aktif, akan diberikan pengecualian daripada menduduki beberapa ujian tertentu semasa proses pemilihan untuk menyertai Angkatan Tetap, melalui latihan Pegawai Kadet Graduan mulai tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengecualian itu, selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025.
"Ini termasuk Ujian Pengetahuan Am, Ujian Kecerdasan Akal, Ujian Kepimpinan dan Merancang serta Ujian Pengucapan Awam," katanya ketika menyampaikan ucaptama program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan Bersama-sama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), pada Khamis.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, pegawai lepasan PALAPES, boleh memohon Penugasan Sepenuh Masa bagi mengisi perjawatan tertentu di unit, kapal, pangkalan dan formasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala tempoh perkhidmatan dan pangkat semasa, akan diambil kira mengikut syarat ditetapkan sekiranya mereka diserap ke dalam Angkatan Tetap.
Beliau berkata, kementeriannya juga mencadangkan pindaan perundangan, bagi membolehkan pegawai lepasan PALAPES yang tamat Tempoh Tamat Perkhidmatan tetapi masih berminat untuk kembali berkhidmat dalam Angkatan Sukarela, supaya tidak perlu ditauliahkan semula.
"Cadangan pindaan ini kini sedang menunggu kelulusan. Sekiranya diluluskan, pegawai berkenaan hanya perlu melalui proses melanjutkan tempoh tauliah, selaras dengan Akta Angkatan Tentera 1972," katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Sistem Officer Voluntary Enrollment and Reporting Workspace Across Three Command Hubs atau OVERWATCH telah dibangunkan bagi membolehkan penempatan, status perkhidmatan dan penglibatan pegawai muda lepasan PALAPES dipantau dengan lebih teratur selepas ditauliahkan.
"Melalui sistem ini, pelaporan secara maya diwujudkan, bagi membolehkan Pegawai Muda Sukarela lepasan PALAPES Universiti Awam merancang penempatan dan melapor diri ke unit Angkatan Sukarela yang berhampiran dengan tempat tinggal, tempat kerja atau tempat mereka melanjutkan pengajian," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya akan menjalani kajian penambahbaikan bayaran insentif bagi Pegawai Kadet PALAPES, yang merangkumi Elaun Kehadiran Latihan Tempatan, Bounti Tahunan dan Pemberian Pakar.
Mohamed Khaled berkata ATM juga sedang meneliti cadangan untuk memberi peluang kepada Pegawai Kadet PALAPES menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap.
"Inisiatif ini dapat memberikan pendedahan kepada persekitaran tugas sebenar ATM serta meningkatkan minat mereka untuk meneruskan perkhidmatan selepas ditauliahkan," katanya.
Pada syarahan itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan acara penandatanganan Nota Kerjasama antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang disempurnakan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kapten (Kehormat) Datuk Profesor Dr Azlinda Azman. - Bernama
