WARGA Politeknik Jeli Kelantan (PJK) memilih cara unik untuk mempamerkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di dasar laut Pulau Tenggol, Terengganu, sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026, baru-baru ini.

Pensyarah Bidang Akuakultur PJK, Mohd Adam Nashriq Bani Yamin berkata, kibaran Jalur Gemilang pada kedalaman 18 meter itu bukan sekadar simbolik meraikan Hari Kebangsaan, malah mencerminkan kemahiran teknikal yang diterapkan dalam kalangan pelajar bidang akuakultur.

Katanya, program berkenaan turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aspek keselamatan air sebagai persediaan sekiranya berlaku kemalangan atau situasi kecemasan ketika menjalankan tugas di perairan kelak.

Foto: FB Politeknik Jeli Kelantan
Foto: FB Politeknik Jeli Kelantan

- Advertisement / Iklan -

"Aksi kibaran Jalur Gemilang di dasar laut itu merupakan sebahagian daripada program latihan dan persijilan selam skuba yang berlangsung pada 27 hingga 30 Ogos lepas di Dive Buddy Dungun, melibatkan Unit Teknologi Akuakultur, Jabatan Agroteknologi dan Bio-Industri PJK.

"Antara kandungan kursus Keselamatan Air ialah selaman skuba dan pelajar yang berminat berpeluang mendapatkan persijilan PADI Open Water Diver sebagai nilai tambah kepada kemahiran mereka," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Mohd Adam Nashriq berkata, kemahiran berkenaan memberi kelebihan kepada pelajar untuk menceburi bidang akuakultur marin dan biomarin yang memerlukan mereka menjalankan tugasan di kawasan perairan atau dasar laut selepas tamat pengajian.

Katanya, dua pensyarah serta dua pelajar semester lima Program Diploma Teknologi Akuakultur menyertai latihan dan persijilan selam skuba berkenaan.

"Latihan itu melibatkan persijilan selam skuba Professional Association of Diving Instructors (PADI) menerusi PADI Divemaster dan PADI Open Water Diver Course yang dikendalikan tenaga pengajar Dive Buddy Malaysia Dr Nabila Talib.

"Selain Jalur Gemilang, bendera PJK turut dikibarkan pada kedalaman sama sekali gus menjadi simbolik patriotisme warga institusi berkenaan serta mengetengahkan kemahiran praktikal dalam bidang akuakultur marin," katanya.

Foto: FB Politeknik Jeli Kelantan
Foto: FB Politeknik Jeli Kelantan

Beliau berkata, pendedahan berkenaan dapat membantu melahirkan pelajar yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, malah memiliki kemahiran praktikal dan kompetensi tambahan yang relevan dengan keperluan industri.

"Kemahiran selaman yang diperoleh juga boleh dimanfaatkan dalam tugasan berkaitan penyelidikan marin, pengurusan ternakan marin serta pemuliharaan ekosistem laut," katanya. - Bernama

Foto: FB Politeknik Jeli Kelantan
Foto: FB Politeknik Jeli Kelantan