USAHA merapatkan jurang antara dunia pendidikan tinggi dan komuniti perniagaan terus diperkukuh apabila MAHSA University menerima kunjungan hormat Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) bagi meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Pertemuan itu menjadi platform untuk MAHSA University dan DPDDM bertukar pandangan serta membincangkan inisiatif yang dapat menghubungkan mahasiswa dengan ekosistem industri sebenar, khususnya dalam aspek pembangunan bakat, keusahawanan, latihan profesional dan peluang kerjaya.

Delegasi DPDDM diketuai Presidennya, Datuk Dr. Nor Hasnal Hashmi bersama barisan kepimpinan kanan, manakala MAHSA University diketuai Pengarah Urusan Kumpulan MAHSA, Datuk Dr. Shahril Mohamed Haniffa.

Menurut Nor Hasnal, hubungan lebih rapat antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti perniagaan penting bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, malah mendapat pendedahan kepada keperluan serta realiti dunia industri.

- Advertisement / Iklan -

“Antara perkara yang turut menjadi fokus perbincangan adalah usaha memperkukuh jaringan industri dan akademik, pembangunan keusahawanan, latihan profesional, peluang kerjaya, pembangunan bakat serta pendedahan mahasiswa kepada ekosistem perniagaan sebenar.

“DPDDM melihat kerjasama bersama institusi pendidikan tinggi seperti MAHSA University sebagai satu langkah penting dalam membina jambatan yang lebih kukuh antara dunia akademik dan sektor industri,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Dalam pertemuan itu, MAHSA University turut menawarkan peluang kepada DPDDM untuk membawa masuk 300 pelajar dari India bagi mengikuti pengajian di institusi berkenaan.

Nor Hasnal berkata, peluang tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada DPDDM memperluas jaringan antarabangsa, malah dapat membantu memperkenalkan peranan dewan di peringkat global.

“Peluang ini merupakan satu langkah kepada kami untuk terus membantu dan memperkenalkan DPDDM di mata dunia selaras dengan matlamat menghubungkan perniagaan, pendidikan dan peluang untuk masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, DPDDM turut berada pada kedudukan strategik untuk menjadi penghubung antara institusi pendidikan, komuniti perniagaan dan pelbagai sektor industri berikutan keahliannya yang merangkumi pelbagai bidang.

Katanya, jaringan tersebut boleh dimanfaatkan untuk memberi lebih banyak peluang kepada mahasiswa dan graduan mendapatkan pendedahan industri, membina rangkaian profesional, meningkatkan kemahiran kepimpinan serta meneroka bidang keusahawanan.

Sementara itu, Shahril berkata, MAHSA University berharap hubungan strategik berkenaan dapat terus diperkukuh bagi menyokong usaha melahirkan graduan yang mampu memenuhi tuntutan dunia pekerjaan.

“Saya berharap hubungan antara DPDDM dan MAHSA University dapat terus diperkukuh bagi membantu negara melahirkan lebih ramai graduan yang mampu bersaing dalam keadaan ekonomi semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama tersebut juga diharap dapat membantu melahirkan graduan yang bukan sahaja berwibawa, malah mempunyai nilai kemanusiaan, keilmuan dan daya tahan selaras dengan hasrat kerajaan Madani.

Jalinan antara MAHSA University dan DPDDM itu diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama yang menghubungkan pendidikan dengan industri, sekali gus memberi nilai tambah kepada mahasiswa, graduan dan komuniti perniagaan.