HARGA makanan yang meningkat terus membebankan rakyat Malaysia. Ironinya, ketika negara masih mengimport sayur-sayuran bernilai berbilion ringgit setiap tahun, sejumlah besar hasil pertanian tempatan pula berakhir sebagai sisa.

Keadaan ini menunjukkan bahawa cabaran sekuriti makanan bukan hanya berpunca daripada kapasiti pengeluaran, tetapi juga kelemahan dalam sistem pengedaran, penyimpanan dan logistik makanan.

Sekuriti makanan bukan sekadar memastikan makanan mencukupi, tetapi turut melibatkan aspek kebolehcapaian, kemampuan harga, kualiti serta kesinambungan bekalan kepada rakyat.

Dalam konteks Malaysia, peningkatan kos input pertanian, perubahan iklim, ketidakstabilan pasaran global dan kos logistik yang tinggi telah memberi tekanan kepada keseluruhan rantaian bekalan makanan.

- Advertisement / Iklan -

Oleh itu, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan dengan memberi tumpuan kepada kecekapan sistem pengangkutan dan pengedaran makanan.

Menurut kajian terkini, rakyat Malaysia membazirkan kira-kira hampir 17,000 tan sisa makanan setiap hari.

- Advertisement / Iklan -

Di kawasan tanah tinggi pertanian seperti Cameron Highlands dan Lojing, puluhan tan sayur-sayuran segar dibuang kerana rosak sebelum sempat sampai ke pasaran disebabkan pelbagai faktor seperti ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan, perubahan cuaca, turun naik harga pasaran serta peningkatan kos operasi termasuk kos diesel yang telah mendorong peningkatan kos penanaman sehingga 30 peratus.

Pembaziran ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pekebun, malah meningkatkan kos keseluruhan rantaian bekalan yang akhirnya ditanggung oleh pengguna melalui harga makanan yang lebih tinggi.

Antara punca utama masalah ini ialah proses penghantaran yang masih kurang cekap dan kurang bersepadu.

Kebanyakan pasar raya atau peruncit membuat pesanan apabila stok hampir habis, manakala maklumat permintaan perlu melalui beberapa peringkat sebelum sampai kepada pekebun atau pengeluar.

Kelewatan aliran maklumat ini menyebabkan perancangan penuaian, pembungkusan dan penghantaran menjadi kurang tepat.

Akibatnya, hasil pertanian mungkin dituai terlalu awal, berlebihan atau tidak sampai kepada pengguna dalam tempoh optimum, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan makanan.

Bagi mengatasi masalah ini, Malaysia perlu mengintegrasikan penggunaan teknologi logistik pintar yang membolehkan pengeluar makanan segar mengakses data permintaan pasaran secara masa nyata (real-time data).

Melalui perkongsian data antara pekebun, pemborong, pusat pengumpulan dan peruncit, pengeluaran dapat diselaraskan berdasarkan keperluan sebenar pengguna.

Pekebun boleh merancang jumlah tanaman, masa penuaian dan jadual penghantaran dengan lebih tepat, manakala peruncit dapat mengurus inventori secara lebih berkesan.

Selain itu, penggunaan sistem pengoptimuman laluan kenderaan (vehicle routing optimization) dapat meningkatkan kecekapan pengangkutan hasil pertanian.

Teknologi ini mampu menentukan laluan terbaik berdasarkan faktor seperti jarak, masa perjalanan, kapasiti kenderaan, lokasi pusat pengumpulan serta tahap kesegaran produk.

Pendekatan ini menyokong teras kecekapan logistik di bawah Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019–2030 melalui pengurangan perjalanan kosong, penjimatan bahan api dan peningkatan penggunaan kapasiti kenderaan.

Penggunaan logistik pintar berpotensi meningkatkan prestasi keseluruhan rantaian bekalan makanan negara.

Apabila proses pengedaran menjadi lebih cekap, pekebun memperoleh pulangan yang lebih baik kerana pengurangan kerugian hasil, peruncit dapat mengurangkan kos akibat lebihan stok atau makanan rosak, manakala pengguna menikmati bekalan makanan yang lebih segar pada harga yang lebih berpatutan.

Dalam jangka panjang, kecekapan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada import makanan dan memperkukuhkan daya tahan sistem makanan negara.

Selain manfaat ekonomi, logistik pintar turut mencerminkan prinsip kelestarian dan daya cipta dalam kerangka Malaysia MADANI.

Pengurangan sisa makanan, penggunaan bahan api secara optimum dan pengurangan pelepasan karbon daripada sektor pengangkutan menyokong komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Transformasi sistem logistik makanan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik.

Dengan memanfaatkan teknologi digital, analitik data dan kerjasama antara kerajaan, industri pertanian, penyedia logistik serta peruncit, Malaysia mampu membina rantaian bekalan makanan yang lebih moden, mampan dan berdaya tahan.

Akhirnya, sekuriti makanan tidak hanya bergantung kepada jumlah makanan yang dihasilkan, tetapi juga keupayaan memastikan makanan sampai kepada pengguna dengan cepat, cekap dan tanpa pembaziran.

Dengan logistik yang lebih pintar, Malaysia mampu menjamin bekalan makanan yang lebih stabil, harga yang lebih terkawal serta meningkatkan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.

* Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim ialah Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, UUM