Nak bawa pulang pelajar, KPT tunggu pandangan Wisma Putra
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan panduan daripada Kementerian Luar Malaysia sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut berkaitan usaha membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di kawasan konflik di Asia Barat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang urusan melibatkan krisis luar negara akan diterajui oleh Kementerian Luar sebagai kementerian utama yang menyelaras hal ehwal diplomatik serta keselamatan di peringkat antarabangsa.
“Apa-apa pun kita akan mendapat petunjuk daripada Kementerian Luar,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Menurut beliau, KPT terus memantau perkembangan semasa di rantau berkenaan bagi memastikan keselamatan pelajar Malaysia sentiasa terjamin.
Setakat Isnin, hanya enam pelajar Malaysia masih berada di Iran dan kesemuanya merupakan pelajar persendirian.
“Tahun lepas kita ada 13 orang di Iran, namun setakat semalam dimaklumkan tinggal enam sahaja,” katanya sambil menjelaskan jumlah itu jauh lebih kecil berbanding pelajar Malaysia di Jordan yang mencecah kira-kira 1,700 orang.
Selain Jordan, tumpuan pelajar Malaysia di rantau tersebut turut melibatkan Mesir dan Arab Saudi.
Zambry berkata, kementeriannya akan terus berkongsi perkembangan terkini mengenai status pelajar Malaysia di negara-negara terbabit dari semasa ke semasa.
Terdahulu, beliau dilaporkan berkata, pelajar Malaysia di enam negara Asia Barat secara keseluruhannya berada dalam keadaan selamat.
