BAGI bakal mahasiswa, menerima tawaran melanjutkan pengajian bukan noktah kepada perjuangan, sebaliknya permulaan kepada fasa baharu yang hadir bersama pelbagai persediaan dan cabaran.

Begitu juga bagi Muhammad Edriez Shazani, yang bakal melanjutkan pengajian dalam program Diploma Pengajian Perbankan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub pada semester Oktober 2026.

Namun, di sebalik kegembiraan menerima tawaran melanjutkan pengajian, anak muda itu menyimpan kisah kehidupan yang penuh ujian.

Edriez kehilangan ibunya ketika berusia enam tahun sebelum ayahnya pula meninggal dunia enam tahun kemudian.

- Advertisement / Iklan -

Selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya, Edriez bersama adiknya dijaga oleh datuk dan nenek mereka. Bagaimanapun, setahun selepas pemergian ayahnya, pasangan warga emas yang menjadi tempat mereka bergantung itu turut meninggal dunia dan mereka berdua dijaga sepenuhnya oleh ibu saudara.

Kehilangan insan tersayang sejak kecil ternyata bukan ujian yang mudah, namun Edriez memilih untuk terus melangkah dan tidak menjadikan keadaan hidup sebagai penghalang untuk mengejar pendidikan.

- Advertisement / Iklan -

Kini, impiannya untuk menjejakkan kaki ke menara gading semakin hampir menjadi kenyataan.

Dalam perjalanan itu, sokongan keluarga serta bantuan daripada pelbagai pihak hadir sebagai penguat semangat buatnya untuk memulakan kehidupan baharu sebagai mahasiswa.

Bagi Edriez, perhatian dan sokongan yang diterima memberi kelegaan, khususnya dalam mengurangkan beban kewangan keluarga ketika membuat persiapan memasuki alam pengajian tinggi.

“Saya rasa lega dan seronok kerana ramai yang menyokong dan mengambil tahu tentang keadaan saya. Insya-Allah, saya akan menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk mencapai impian saya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan bagi membolehkannya meneruskan pengajian.

UiTM turun padang

Menyedari persediaan memasuki universiti bukan sekadar berkaitan tawaran pengajian, UiTM menerusi Program Ziarah Kasih mengambil pendekatan turun padang dengan menziarahi Edriez di kediamannya di Kampung Sungai Buaya, Rawang, Selangor.

Kunjungan itu bagi memastikan Edriez mendapat persediaan dan sokongan yang sewajarnya sebelum memulakan pengajian pada semester Oktober ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, kebajikan pelajar sentiasa menjadi antara perkara yang diberi perhatian oleh UiTM, terutama dalam membantu mereka membuat persediaan sebelum memulakan pengajian.

“UiTM sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan keperluan pelajar diberikan perhatian sewajarnya.

“Usaha seperti Program Ziarah Kasih membolehkan universiti mendekati bakal pelajar dan keluarga secara langsung, memahami keperluan mereka serta memastikan bantuan yang bersesuaian dapat disalurkan bagi menyokong perjalanan pendidikan mereka,” katanya di kediaman Muhammad Edriez pada Jumaat.

Edriez berbual bersama Akmal Zharif (dua dari kanan) dan Mohd Sazili (Kiri) ketika menerima kunjungan Ziarah Kasih UiTM dan KPT pada Jumaat.Foto UiTM
Edriez berbual bersama Akmal Zharif (dua dari kanan) dan Mohd Sazili (Kiri) ketika menerima kunjungan Ziarah Kasih UiTM dan KPT pada Jumaat.Foto UiTM

Mohd Sazili hadir bersama Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Rizal Nordin serta wakil UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub.

Turut menyertai kunjungan itu ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Akmal Zharif Ahmad Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Hirman Awang @ Semail bersama pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Jaringan sokongan pelbagai pihak

Sementara itu, Akmal Zharif berkata, kementerian akan terus menyokong inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa dan bakal mahasiswa, termasuk menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi serta rakan strategik.

“Kerjasama antara kementerian, institusi pendidikan tinggi serta rakan strategik amat penting bagi memastikan mereka bukan sahaja memperoleh akses kepada pendidikan, malah mempunyai sokongan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian dengan baik,” katanya.

Kisah Muhammad Edriez membuktikan bahawa kehilangan dan kesusahan hidup tidak semestinya menjadi noktah kepada sebuah impian.