Semangat Ramadan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memang lain macam tahun ini! Menerusi Pusat Islam dan Masjid Sultan Ibrahim (MSI), pelbagai program sumbangan makanan dan infaq digerakkan sepanjang Ramadan melibatkan seramai 7,245 penerima dengan nilai keseluruhan melebihi RM50,000. 

Pengarah Pusat Islam, Shafry Salim berkata, inisiatif ini adalah komitmen berterusan universiti untuk memastikan keberkatan Ramadan dapat dirasai semua.

“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tapi masa terbaik untuk eratkan ukhuwah dan kongsi rezeki.

“Kita nak staf, pelajar, golongan asnaf dan komuniti sekitar sama-sama rasa nikmat Ramadan,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Sepanjang bulan mulia ini, sebanyak 3,600 bungkus juadah iftar diagihkan kepada warga kampus pada setiap hari bekerja. Setiap Rabu pula, 3,200 bungkus bubur lambuk hasil air tangan sukarelawan ‘Geng Dapo MSI’ diedarkan. 

Tak dilupakan, menerusi Program Prihatin Asnaf, seramai 45 asnaf fakir dan miskin menerima bantuan bernilai RM200 setiap seorang dalam bentuk tunai dan barangan keperluan harian, yang diagihkan dalam empat sesi berasingan.

- Advertisement / Iklan -

Program Singgah Sahur pula menyantuni 500 petugas syif malam termasuk di Hospital Sultanah Nora Ismail, IPD, JBPM, APM, SAJ serta beberapa agensi sekitar Batu Pahat, Parit Raja dan Ayer Hitam.

Menariknya, usaha ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan kolaborasi seperti F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Nasi Ayam Gepuk Wak Jo Batu Pahat, McDonald's Parit Raja, FKEE dan FKMP.

Jelas Shafry, masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga pusat kebajikan dan kesejahteraan. Harapnya, semangat ini terus menyala dan jadi inspirasi buat semua untuk terus berganding bahu menyemai kebaikan.