IMPIAN untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana yang sebelum ini tampak jauh akhirnya menjadi kenyataan buat 10 pelajar pascasiswazah daripada golongan B40 apabila menerima Biasiswa Alumni 2026/2027 daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Bagi sebahagian daripada mereka, biasiswa itu bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi talian hayat yang membuka ruang untuk keluar daripada kekangan ekonomi keluarga dan meneruskan cita-cita akademik yang tertangguh.

Seorang penerima, Zaatil Ulya Alazmi, 24, dari Gaal, Kelantan, menyifatkan pemilihannya sebagai satu rezeki besar untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang fonetik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi UniSZA.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Kepujian) itu berkata, biasiswa berkenaan menjadi batu loncatan untuk merealisasikan impiannya bergelar pensyarah.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, selepas menamatkan pengajian pada Julai 2025, beliau bekerja sebagai guru ganti di Maahad Saniah, Pasir Puteh bagi mengumpul wang dan membantu kedua-dua ibu bapanya menanggung lapan adik-beradik yang masih belajar di universiti dan sekolah.

Zaatil Ulya Alazmi, 24 (kanan) dan Muhammad Hafizul Haiqal Ab. Karim, 26 (kiri) menunjukkan plat Biasiswa Alumni yang diterima.
Zaatil Ulya Alazmi, 24 (kanan) dan Muhammad Hafizul Haiqal Ab. Karim, 26 (kiri) menunjukkan plat Biasiswa Alumni yang diterima.

- Advertisement / Iklan -

“Alhamdulillah permohonan Biasiswa Alumni berjaya dan saya dapat menyambung pengajian dalam bidang yang diminati. Insya-Allah peluang ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menggapai cita-cita dan membantu keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tajaan Biasiswa Alumni UniSZA 2026 di Bangunan Canselori UniSZA.

Majlis penyerahan disempurnakan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam.

Seorang lagi penerima, Muhammad Hafizul Haiqal Ab. Karim, 26, dari Alor Limbat, Marang, berkata beliau berhasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana selepas menamatkan pengajian dalam bidang Reka Bentuk Perindustrian di universiti sama.

Bagaimanapun, kekangan kewangan memaksanya menangguhkan hasrat tersebut dan melakukan pelbagai pekerjaan bagi mengumpul wang.

“Saya pernah memohon biasiswa lain tetapi tidak berjaya. Alhamdulillah daripada 30 calon, saya tersenarai antara 10 penerima Biasiswa Alumni,” katanya.

Sementara itu, Fadzli berkata UniSZA menyalurkan RM200,000 bagi menaja kumpulan pertama penerima Biasiswa Alumni 2026/2027.

Menurut beliau, pembiayaan itu hasil sumbangan alumni, Dana Wakalah Zakat UniSZA serta tajaan korporat melalui jaringan strategik universiti bersama rakan industri.

“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol solidariti dan kebersamaan alumni dalam memperkasakan pendidikan serta memperkukuh ekosistem ilmu di Malaysia.

“Ia juga membuktikan komitmen berterusan alumni dalam memastikan pelajar B40 diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.