Krisis senyap rawatan kanser di Malaysia: Kita kekurangan ahli terapi radiasi!
‘AHLI terapi radiasi merupakan satu jawatan yang penting dalam rawatan kanser, tetapi ramai yang masih tidak sedar akan kewujudannya.’
Bayangkan, mesin rawatan kanser berjuta ringgit telah tersedia. Pesakit beratur menunggu rawatan dan doktor pakar kanser sudah pun menyediakan pelan rawatan. Persoalannya, siapa yang akan mengendalikan rawatan tersebut?
Inilah cabaran yang semakin ketara dalam perkhidmatan radioterapi di Malaysia.
Menurut angka Institut Kanser Negara yang dilaporkan baru-baru ini, sebanyak 40,198 kes kanser baharu direkodkan pada 2024.
Ini bersamaan kira-kira 110 orang disahkan menghidap kanser setiap hari. Kanser turut menjadi punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia pada tahun tersebut dengan 19,180 kematian.
World Health Organization (WHO) dan International Atomic Energy Agency (IAEA) menganggarkan bahawa lebih separuh daripada pesakit kanser memerlukan radioterapi pada suatu peringkat dalam rawatan mereka.
Persoalannya, adakah kita mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tersebut?
Bukan sekadar 'tekan butang'
Antara tenaga profesional terpenting dalam rawatan ini ialah ahli terapi radiasi, yang turut dikenali sebagai radiation therapist, radiation therapy technologist atau Juru X-Ray (Terapi).
Malangnya, tidak ramai orang menyedari kewujudan kerjaya ini. Ada yang menyangka ahli terapi radiasi sama seperti doktor pakar radiologi.
Ada pula yang menganggap tugasnya sama seperti juru X-ray, atau hanya menekan butang mesin. Realitinya jauh lebih kompleks.
Ahli terapi radiasi mengendalikan peralatan rawatan berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit, memastikan kedudukan pesakit tepat, melakukan pengesahan imej dan menyampaikan dos radiasi mengikut pelan yang ditetapkan.
Mereka juga memantau keadaan pesakit, mengenal pasti kesan sampingan, memastikan keselamatan radiasi, dan bekerjasama dengan pakar kanser, ahli fizik perubatan, jururawat serta profesional kesihatan lain sepanjang rawatan kanser berlangsung.
Ketepatan sangat penting. Dalam radioterapi, perbezaan beberapa milimeter boleh menentukan sama ada radiasi sampai tepat kepada tumor atau merosakkan lebih banyak tisu normal. Ini bukan pekerjaan biasa. Ia memerlukan pengetahuan sains, kemahiran teknologi, ketelitian dan juga sifat empati terhadap pesakit kanser.
Sekurang-kurangnya 26 kekosongan jawatan
Satu perkongsian dalam rangkaian pemimpin RTT Malaysia mengenal pasti sekurang-kurangnya 26 kekosongan jawatan di 15 hospital dan pusat kanser seluruh negara.
Bilangan ini hanyalah perkongsian masa nyata sesama kumpulan profesional, namun mesejnya tetap jelas – hospital memerlukan lebih ramai ahli terapi radiasi, tetapi graduan kita tidak mencukupi!
Pada masa yang sama, bilangan pusat radioterapi Malaysia terus bertambah. Sebagai gambaran, negara mempunyai kira-kira 17 pusat radioterapi pada 1990-an.
Menjelang Februari 2019, terdapat 30 pusat dengan 58 mesin rawatan bertenaga tinggi.
Kajian dan inventori terkini pula melaporkan antara 35 hingga 41 pusat, bergantung pada definisi pusat dan jenis peralatan yang dimasukkan. Secara keseluruhannya, rangkaian pusat radioterapi Malaysia telah berkembang kira-kira dua kali ganda sejak akhir 1990-an.
Walaupun begitu, hakikatnya taburan fasiliti rawatan radioterapi di seluruh negara masih belum cukup sekata. Ramai pesakit kanser dari Pantai Timur, Sabah dan Sarawak terpaksa menempuh perjalanan lebih dari 100 kilometer untuk sampai ke pusat radioterapi terdekat.
Ini bermakna Malaysia bukan sahaja memerlukan tambahan mesin di pusat sedia ada. Negara memerlukan pusat baharu di kawasan yang masih kurang capaian perkhidmatan rawatan kanser.
Fasiliti bertambah, pekerja mesti bertambah
Satu projek perancangan serantau menggunakan data sektor awam Malaysia menganggarkan negara memerlukan tambahan 20 mesin LINAC (pemecut linear bertenaga tinggi) dan lima jabatan radioterapi untuk menampung beban rawatan pesakit-pesakit kanser.
Projek itu turut melaporkan bahawa kadar penggunaan radioterapi sebenar adalah sekitar 25 peratus sahaja berbanding kadar optimum yang dianggarkan sebanyak 52 peratus, menunjukkan jurang perkhidmatan yang besar dalam rawatan kanser.
Masalahnya, mesin paling berteknologi tinggi pun masih tidak boleh merawat pesakit secara automatik. Setiap mesin memerlukan pasukan terlatih.
Berdasarkan panduan tenaga kerja antarabangsa, tambahan 20 mesin boleh mewujudkan keperluan sekitar 40 hingga 80 ahli terapi radiasi untuk operasi mesin sahaja.
Jumlah itu belum lagi mengambil kira tenaga kerja bagi simulasi, perancangan rawatan, brakiterapi, kawalan mutu, latihan, pengurusan, kerja syif dan penggantian kakitangan yang bercuti.
Jika bilangan pesakit, pusat dan mesin meningkat serentak, permintaan terhadap ahli terapi radiasi hampir pasti akan terus bertambah.
Tetapi, mengapa anak muda tidak memilih radioterapi?
Masalah pertama adalah kurangnya pendedahan. Kita kerap mendedahkan pelajar sekolah dengan bidang perubatan, kejururawatan, farmasi dan fisioterapi, tetapi tidak radioterapi.
Pekerja kesihatan pun belum tentu dapat membezakan radioterapi dan radiologi, apatah lagi orang awam yang tidak pernah terlibat dengan kanser.
Masalah kedua ialah persepsi. Perkataan “radiasi” sahaja sudah menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan, lebih-lebih lagi apabila tular isu keselamatan radiasi terhadap pekerja di sebuah pusat perubatan negara baru-baru ini.
Walaupun pihak berkuasa sudah membuat kenyataan umum berkaitan hal tersebut, bukan mudah untuk memadamkan persepsi negatif orang awam terhadap bahaya radiasi.
Masalah ketiga ialah ganjaran. Gaji asas permulaan rasmi sektor awam dalam bidang ini hanya sekitar RM1,974 bagi kelayakan diploma dan RM2,580 bagi kelayakan ijazah.
Walaupun terdapat elaun, angka tersebut boleh kelihatan rendah bagi kerjaya yang begitu khusus dan mempunyai tanggungjawab keselamatan yang besar.
Tidak kurang dari itu, negara jiran kita juga begitu agresif merekrut graduan radioterapi Malaysia.
Dengan tawaran gaji permulaan yang begitu tinggi, tidak menghairankan jika graduan radioterapi lebih tertarik dengan tawaran kerjaya di sana.
Kita perlu sedar akan hakikat yang patriotisme sahaja tidak memadai. Malaysia perlu menawarkan gaji, perkembangan kerjaya, latihan lanjutan dan persekitaran kerja yang cukup menarik untuk mengekalkan ahli terapi radiasi kita di dalam negara.
Jika tidak, mungkinkah akan tiba masanya kita terpaksa mengharapkan tenaga kerja luar untuk merawat anak bangsa kita?
Masa untuk bertindak
Malaysia memerlukan pelan tenaga kerja radioterapi kebangsaan yang menghubungkan jumlah pesakit, mesin, pusat rawatan, pelajar, graduan, kekosongan dan penghijrahan pekerja.
Hospital boleh menawarkan biasiswa, elaun latihan dan pekerjaan bersyarat sebelum pelajar memulakan pengajian. Sekolah pula perlu memperkenalkan ahli terapi radiasi sebagai peluang kerjaya yang menggabungkan teknologi, sains dan kesihatan.
Laluan daripada diploma kepada ijazah juga perlu diperkukuh, bersama peluang kerjaya dalam bidang dosimetri, penyelidikan, pendidikan, pengurusan dan amalan lanjutan.
Kita sedar, Malaysia sedang menambah baik teknologi rawatan kanser.
Namun, teknologi tercanggih sekalipun tidak bermakna tanpa tenaga manusia mahir yang boleh mengendalikannya.
Pesakit semakin ramai. Mesin semakin bertambah. Kekosongan sudah tersedia. Persoalannya, siapa yang akan kita latih untuk merawat pesakit kanser Malaysia pada masa hadapan
* Dr. Muhammad Afiq Khairil Anuar ialah Pensyarah Kanan, Radioterapi Department of Healthcare Professional, Faculty of Health and Life Sciences, MSU
