PENGANJURAN julung kali Pertandingan Bahas Piala Menteri sempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 mengangkat wacana strategik berhubung isu dasar tenaga negara dengan penglibatan belia.

Perbahasan berkenaan menyaksikan persaingan 20 pembahas dalam kalangan mahasiswa universiti tempatan menerusi tajuk "Haruskah Malaysia Memperluaskan Pengeksportan Bekalan Elektrik Berasaskan Tenaga Boleh Baharu ke Negara-Negara Jiran di Samping Memenuhi Keperluan Domestik?".

Terdahulu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) menyampaikan anugerah kepada pasukan kerajaan yang dinobatkan sebagai johan, selain anugerah Pembahas Terbaik.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) merangkap Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

- Advertisement / Iklan -

Pengarah Komunikasi Strategik SEDA Izzad Zalman Abdul Kader berkata, penglibatan golongan belia dalam platform perbahasan dilihat amat penting sebagai medium untuk memperkukuh literasi tenaga dan memperluas pemahaman mengenai dasar kerajaan secara kritis, matang dan berasaskan fakta.

"Apabila kita menggerakkan dengan metodologi begini (perbahasan), ia adalah satu pendekatan untuk memastikan golongan belia ini benar-benar memahami isu semasa.

- Advertisement / Iklan -

"Selain itu, mereka mampu mematahkan ataupun memberikan pandangan mereka mengenai dasar kerajaan dalam perbahasan," katanya selepas majlis penyampaian anugerah Bahas Piala Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Bahas Piala Menteri adalah program flagship MELP 2026 anjuran SEDA Malaysia di bawah kementerian berkenaan dalam memupuk kesedaran awal mengenai literasi tenaga dalam kalangan generasi muda.

MELP adalah inisiatif nasional bertujuan meningkatkan literasi tenaga dalam kalangan rakyat Malaysia melalui penyediaan maklumat tenaga yang tepat, sahih dan dipercayai.

MELP diwujudkan bagi membantu masyarakat memahami bagaimana tenaga dihasilkan, digunakan dan diuruskan, seterusnya membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih bijak, bertanggungjawab dan lestari dalam penggunaan tenaga.

 Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (dua, kiri) menyampaikan anugerah Pembahas Terbaik kepada mahasiswa dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Muhammad Uwais Mohd Hazril Munir @ Umar, 20, (dua, kanan) pada majlis penyampaian anugerah Pertandingan Bahas Piala Menteri sempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) merangkap Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli (kanan).
Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (dua, kiri) menyampaikan anugerah Pembahas Terbaik kepada mahasiswa dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Muhammad Uwais Mohd Hazril Munir @ Umar, 20, (dua, kanan) pada majlis penyampaian anugerah Pertandingan Bahas Piala Menteri sempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) merangkap Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli (kanan).

Sementara itu, Pembahas Terbaik Muhammad Uwais Mohd Hazril Munir @ Umar, 20, menyifatkan arena perdebatan sebagai medium berkesan bagi memudahkan pemahaman masyarakat terhadap isu berat seperti tenaga boleh baharu (TBB).

"Tugas kami memang untuk memudahkan pemahaman orang... pendekatan debat ini ialah pendekatan yang agak unik sebab penonton atau pendengar boleh mendengar pandangan daripada dua belah pihak," kata mahasiswa Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya itu.

Bagi Afiq Athmar Mohamed, 21, kolaborasi kementerian, agensi kerajaan dan media tempatan menerusi penganjuran pertandingan seumpama ini memberi suntikan baharu kepada dunia perdebatan, pendidikan dan mengarusperdanakan isu tenaga.

Mahasiswa dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Afiq Athmar Mohamed, 21, ditemu bual Bernama selepas majlis penyampaian anugerah Pertandingan Bahas Piala Menteri sempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Mahasiswa dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Afiq Athmar Mohamed, 21, ditemu bual Bernama selepas majlis penyampaian anugerah Pertandingan Bahas Piala Menteri sempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau yang juga mahasiswa Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya berpendapat selain menjadi wadah menyemai kecaknaan awam daripada pelbagai peringkat umur mengenai krisis bekalan tenaga, program itu penting bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap peralihan penggunaan tenaga yang tidak boleh diperbaharui kepada TBB. - Bernama