Malaysia-Rusia perkukuh kerjasama pendidikan tinggi, sains dan teknologi
MALAYSIA dan Rusia terus memperkukuh kerjasama strategik dalam pendidikan tinggi, sains, teknologi serta pembangunan bakat menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-5 yang berlangsung di Vladivostok, Rusia dari 13 hingga 15 Ogos 2026.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan dan mempengerusikannya bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Valery Falkov.
Menurut Zambry, mesyuarat berkenaan menjadi platform penting untuk kedua-dua negara menterjemahkan hubungan sedia terjalin kepada kerjasama yang lebih konkrit, khususnya dalam bidang yang mempunyai potensi besar untuk pembangunan masa hadapan.
“Malaysia mahu JC-ESTC menjadi sebuah platform yang berorientasikan tindakan dan hasil. Hubungan baik antara kedua-dua negara perlu diterjemahkan kepada projek, pelaburan, pertukaran kepakaran, pembangunan teknologi dan peluang baharu yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat serta ekonomi kedua-dua negara,” katanya.
Menurutnya, dalam konteks pendidikan tinggi, Malaysia memberi tumpuan kepada usaha memperluas mobiliti pelajar dan akademik, penyelidikan bersama, kerjasama universiti-ke-universiti serta pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi dan bidang strategik masa hadapan.
"Kerjasama tersebut dilihat berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Rusia untuk membangunkan program akademik bersama, memperkukuh jaringan penyelidikan serta memperluas pertukaran kepakaran dan bakat," katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat JC-ESTC Ke-5 turut menghimpunkan wakil daripada 18 kementerian dan agensi berkaitan yang mencerminkan skop luas hubungan Malaysia-Rusia yang merangkumi ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tenaga, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, pertanian serta kerjasama sosial dan kebudayaan.
Zambry berkata, kedua-dua negara mempunyai kekuatan yang saling melengkapi, terutama dalam bidang sains, teknologi, tenaga, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan.
“Malaysia dan Rusia mempunyai kekuatan yang boleh saling melengkapi, khususnya dalam bidang sains, teknologi, tenaga, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan. Justeru, terdapat ruang yang luas untuk kedua-dua negara meningkatkan lagi tahap kerjasama berdasarkan kepentingan bersama dan prinsip saling menghormati.
"Selain memperkukuh pendidikan tinggi, perbincangan turut memberi perhatian kepada peluang memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala, meneroka sektor strategik serta teknologi baharu dan memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi," katanya.
Mesyuarat itu juga menjadi ruang untuk kedua-dua negara menilai kemajuan terhadap perkara yang telah dipersetujui sebelum ini, mengenal pasti cabaran serta menetapkan bidang keutamaan baharu yang boleh dilaksanakan secara bersama.
JC-ESTC yang ditubuhkan pada 2015 merupakan platform rasmi utama Malaysia-Rusia bagi menyelaras dan memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
