DARIPADA sofa yang diinspirasikan seni bina rumah tradisional Sulawesi, alat pintar yang membantu membetulkan postur ketika bekerja hinggalah kenderaan khas untuk penghantaran kucing, pelbagai idea kreatif berjaya mencuri perhatian pengunjung pada Industrial Design (IDE) Showcase 2026 V2.0 bertemakan VERTEX.

Antara projek yang menjadi tumpuan ialah Sibalie'., sofa yang diinspirasikan daripada seni bina rumah Tongkonan, iaitu rumah adat masyarakat Toraja di Sulawesi Selatan, Indonesia; Mobula Smart Workspace Companion, alat pintar yang membantu pengguna mengekalkan postur badan yang betul ketika bekerja serta PAWZ (Cat Delivery Vehicle), kenderaan khas yang direka bagi memudahkan penghantaran kucing ke pusat dandanan atau klinik veterinar.

Bagi pelajar, Abu Yazid Hakimi Abu Bakar, 24, penghasilan Sibalie'. mengambil masa kira-kira enam bulan bermula dengan proses penyelidikan sebelum diterjemahkan kepada sebuah prototaip yang dihasilkan sepenuhnya sendiri.

"Saya berpuas hati kerana dapat menghasilkan sesuatu daripada idea dan usaha sendiri. Harapan saya bukan sekadar menjadi pereka yang berjaya, tetapi menghasilkan reka bentuk yang memberi manfaat kepada masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

"Saya juga berharap lebih ramai pelajar memilih bidang Seni Reka Perindustrian kerana prospek kerjayanya sangat luas," katanya.

Sementara itu, Muhammad Amel Feryal Rini Fauzan, 22, berkata, idea menghasilkan Mobula Smart Workspace Companion tercetus selepas penyelidikannya mendapati ramai pengguna ruang kerja mengalami masalah sakit bahu dan pinggang akibat postur yang tidak betul ketika bekerja.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, produk tersebut menggunakan pencahayaan ambien sebagai peringatan kepada pengguna untuk membetulkan postur badan tanpa mengganggu fokus ketika bekerja.

"Saya berharap bidang Seni Reka Perindustrian terus mendapat perhatian kerana memainkan peranan penting dalam pembangunan produk harian, perabot, automotif serta pelbagai sektor industri," katanya.

Bagi Haifa Najira Hasmi, 24, pula, minat yang mendalam terhadap bidang Seni Reka Perindustrian serta pengalaman memelihara kucing menjadi inspirasi menghasilkan PAWZ (Cat Delivery Vehicle).

Katanya, inovasi itu dibangunkan bagi membantu pemilik haiwan peliharaan yang berdepan kesukaran menghantar kucing ke pusat dandanan atau klinik veterinar dengan lebih selamat dan praktikal.

"Saya berharap junior berani meneroka idea baharu dan tidak sekadar mengikut projek yang pernah dihasilkan senior. Berfikirlah di luar kotak dan hasilkan reka bentuk yang relevan dengan keperluan semasa agar mampu memberi impak kepada masyarakat," katanya.