AMANAH Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Kursi Nusantara, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pustaka Negeri Sarawak bakal menganjurkan Persidangan Antarabangsa Novel Melayu Pertama Diketahui di Dunia: Hikayat Panglima Nikosa sempena ulang tahun ke-150 penerbitan karya berkenaan.

Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr. Haji Sanib Haji Said berkata, persidangan bertemakan “150 Tahun Hikayat Panglima Nikosa” itu dijadual berlangsung pada 25 hingga 26 November 2026 di Wisma Melayu Sarawak, Kuching.

Menurutnya, penganjuran persidangan berkenaan merupakan antara usaha mengangkat Hikayat Panglima Nikosa yang dicetak pada 1876 sebagai karya penting dalam perkembangan Sastera Melayu Moden.

“Hikayat Panglima Nikosa tulisan Ahmad Shawal bin Abdul Hamid yang dicetak di Bukit Persinggahan, Kuching dipersetujui secara konsensus para sarjana sebagai karya Sastera Melayu terawal yang menepati kualiti novel moden,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Penerbitan karya berkenaan melengkapi fasa perkembangan dan transisi Sastera Melayu Nusantara, iaitu daripada tradisi penyampaian lisan dan genre karya Melayu klasik kepada budaya penerbitan bercetak moden.

Beberapa penelitian turut mengiktiraf Hikayat Panglima Nikosa sebagai antara karya Melayu yang hampir dengan cetusan perkembangan novel moden di benua Eropah dan Asia pada abad ke-19.

- Advertisement / Iklan -

Keadaan itu sekali gus meletakkan Sarawak dan Alam Melayu sebagai antara wilayah penting dalam perkembangan kesusasteraan dunia.

Lebih daripada sekadar karya sastera, Hikayat Panglima Nikosa turut merakamkan bukti kemajuan bahasa Jawi, evolusi teknologi percetakan awal, sejarah intelektual dan pemikiran, selain corak kehidupan masyarakat Melayu Sarawak pada zamannya.

“Penerbitan naskhah ini secara langsung memperlihatkan kedudukan Sarawak sebagai salah sebuah wilayah yang penting dalam perkembangan awal penulisan moden dan teknologi percetakan Melayu di Nusantara,” katanya.

Dalam usaha mengapresiasi nilai sejarah, bahasa, budaya dan sastera yang terkandung dalam karya berkenaan, persidangan antarabangsa itu menjadi sebahagian daripada tekad berterusan AKYBMS untuk memupuk dukungan, sambutan dan rasa bangga terhadap manuskrip penting tersebut.

Persidangan itu dijadualkan dirasmikan oleh Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS.

Penganjuran berkenaan menyasarkan penyertaan 300 peserta terdiri daripada pakar, sarjana, penyelidik, mahasiswa, penggiat sastera, kurator manuskrip, pengamal budaya serta wakil institusi dari Malaysia dan antarabangsa.

AKYBMS sejak 2014 beriltizam untuk terus mempergiat pelbagai inisiatif akademik, syarahan ilmiah, penyelidikan dan pementasan bagi memperkenalkan sekali gus memartabatkan naskhah agung Melayu, terutama Hikayat Panglima Nikosa, di persada kebangsaan dan antarabangsa.