BAKAT melukis dalam bidang animasi dimanfaatkan oleh dua penuntut pusat pengajian tinggi untuk mencuba seni lukis wajah yang secara tidak langsung memberikan mereka pendapatan sampingan.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Produksi Animasi 2D Universiti Teknologi MARA, Nur Farina Izzatul Daur, 23, berkata, pengalaman melukis pada wajah kanak-kanak membuka dimensi baharu dalam kemahirannya yang sebelum ini banyak tertumpu pada lukisan di atas kertas dan tablet digital.

Anak kelahiran Tawau, Sabah itu berkata, dia sendiri menawarkan diri untuk mencuba aktiviti berkenaan ketika menjalani latihan industri meskipun tidak mempunyai pengalaman khusus sebagai pelukis wajah.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Produksi Animasi 2D Universiti Teknologi MARA Nur Farina Izzatul Daur, 23, selepas tayangan eksklusif siri animasi terbaharu Build-It Blocks.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Produksi Animasi 2D Universiti Teknologi MARA Nur Farina Izzatul Daur, 23, selepas tayangan eksklusif siri animasi terbaharu Build-It Blocks.

- Advertisement / Iklan -

"Saya mencubanya kerana mahu melakukan sesuatu yang baharu. Kalau gagal, itu peluang untuk saya memperbaiki diri dan kalau berjaya, Alhamdulillah, itu mungkin kebolehan yang saya ada," katanya kepada Bernama selepas tayangan eksklusif siri animasi terbaharu Build-It Blocks, baru-baru ini.

Nur Farina Izzatul berkata, pengalaman itu turut menyedarkannya bahawa kemahiran seni yang dimiliki boleh dikembangkan kepada bidang lain dan berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan.

- Advertisement / Iklan -

Walaupun jumlah yang diperoleh tidak besar, Nur Farina berkata, dia tetap berpuas hati kerana pendapatan itu diperoleh menerusi hasil kreativiti dan kemahirannya sendiri.

"Tak adalah banyak sangat, tetapi saya bersyukur sebab ia hasil tangan saya. Asalkan halal, saya okey sahaja," katanya yang bercadang meneruskan aktiviti itu pada acara tertentu atau membuka reruai sendiri sekiranya berpeluang.

Dia yang gemar menghasilkan corak rama-rama berkata satu lukisan ringkas dapat disiapkan dalam tempoh lima hingga 10 minit, manakala corak berbentuk geometri memerlukan ketelitian lebih tinggi terutama dari segi garisan dan bentuk.

Katanya pengalaman berinteraksi dengan kanak-kanak turut memberikan kepuasan tersendiri apabila melihat mereka teruja dan bangga dengan hasil lukisan pada wajah masing-masing.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Produksi Animasi 2D Universiti Teknologi MARA Nur Farina Izzatul Daur, 23, melukis wajah pelanggan ciliknya selepas tayangan eksklusif siri animasi terbaharu Build-It Blocks.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Produksi Animasi 2D Universiti Teknologi MARA Nur Farina Izzatul Daur, 23, melukis wajah pelanggan ciliknya selepas tayangan eksklusif siri animasi terbaharu Build-It Blocks.

Sementara itu, penuntut Diploma Animasi 3D di Kolej Vokasional Kluang, Muhammad Danish Ahlami Imtiaz Alam, 20, berkata, minat terhadap seni yang dipupuk sejak kecil mendorongnya mencuba seni lukis wajah walaupun pada awalnya kurang yakin dengan kebolehan sendiri.

"Sebenarnya saya tidak yakin, tetapi saya berani mencuba. Apabila melihat orang gembira dengan hasil lukisan saya, saya semakin yakin untuk terus melakukannya," katanya.

Menurut Muhammad Danish Ahlami, aktiviti melukis turut memberikan ketenangan apabila dia dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap sesuatu rekaan sehingga terlupa suasana di sekeliling.

Pelajar itu berkata, lukisan ringkas mengambil masa kira-kira 10 minit untuk disiapkan, manakala rekaan lebih rumit boleh mengambil masa antara 15 hingga 20 minit.

"Antara motif yang menjadi pilihan saya ialah bunga, haiwan, watak serta elemen flora dan fauna. Saya juga memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk memilih warna dan corak mengikut cita rasa masing-masing," katanya, menambah proses itu secara tidak langsung dapat merangsang imaginasi kanak-kanak.

Muhammad Danish Ahlami berkata aktiviti berkenaan turut memberinya ruang mengasah kemahiran dan kreativiti secara berperingkat, selain membantu menambah duit poket sepanjang menjalani latihan industri.

"Bila saya berani mencuba, saya sedar sebenarnya banyak lagi perkara baharu yang boleh saya terokai," katanya yang terbuka untuk meneruskan seni lukis wajah sekiranya mendapat peluang pada masa akan datang. - Bernama