12 tahun terlantar, kebajikan Muaz kini diberi perhatian
SELEPAS lebih 12 tahun terlantar akibat kemalangan motosikal, kisah Muhd Muaz Nurul Fuad, 31, mula mendapat perhatian wakil pertubuhan belia yang berharap beberapa urusan berkaitan kebajikan dan masa depannya dapat dipermudahkan melalui agensi berkaitan.
Muaz yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik pernah memulakan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), namun terpaksa menghentikan pengajian selepas terlibat dalam kemalangan yang mengubah perjalanan hidupnya.
Bekas pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pauh itu kini dijaga sepenuhnya oleh ibu bapanya di rumah.
Ibunya, Fatimah Rebo, 64, berkata keluarga tidak berdepan masalah untuk menyediakan perbelanjaan penjagaan Muaz yang mencecah kira-kira RM3,000 sebulan termasuk ubat-ubatan dan keperluan harian.
Bagaimanapun, sebagai ibu bapa, mereka tetap memikirkan masa depan dan kebajikan Muaz untuk jangka panjang.
Antara perkara yang menjadi perhatian ialah baki pinjaman pendidikan MARA yang masih perlu diselesaikan walaupun Muaz tidak dapat meneruskan pengajian selepas kemalangan.
Difahamkan, baki pinjaman berkenaan sekitar RM37,000 dengan bayaran kira-kira RM250 sebulan yang masih diuruskan oleh bapanya walaupun sudah bersara.
Selain itu, keluarga turut berharap urusan simpanan Muaz di CIMB yang masih berbaki dapat dipermudahkan supaya wang berkenaan boleh digunakan untuk kepentingan dan kebajikan dirinya.
Perkara itu antara yang mendapat perhatian Exco Majlis Belia Negeri Kedah, Aminuddin Ghazali, 27, ketika menziarahi Muaz bersama wakil Gabungan Majlis Belia Negeri Kedah dan Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA).


Menurut Aminuddin, kunjungan berkenaan bukan bertujuan menggambarkan keluarga Muaz berada dalam kesusahan kewangan, sebaliknya untuk melihat ruang yang boleh dibantu melalui saluran agensi berkaitan.
“Kadang-kadang bukan soal keluarga tidak mampu, tetapi kita mahu melihat kebajikan seseorang seperti Muaz terus terbela.
“Jika ada ruang pertimbangan daripada MARA berkaitan pinjaman pengajian, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pejabat zakat atau pihak bank dalam urusan simpanannya, ia tentu memberi sedikit kelegaan kepada keluarga,” katanya.
Beliau berkata, perhatian daripada agensi berkaitan juga penting kerana kos menguruskan Muaz termasuk keperluan harian dan ubat-ubatan boleh menjangkau kira-kira RM2,000 sebulan.
Katanya, pihaknya berharap lawatan itu menjadi titik permulaan untuk membawa perkara berkenaan kepada saluran yang betul tanpa membebankan atau menimbulkan persepsi bahawa keluarga Muaz sedang meminta sumbangan.
Bagi Fatimah dan suaminya, keutamaan mereka selama ini adalah memastikan Muaz terus mendapat penjagaan terbaik.
Namun, selepas lebih sedekad menjaga anak sulung mereka, mereka berharap beberapa urusan berkaitan masa depan, simpanan, pinjaman pendidikan dan kebajikan Muaz dapat diberikan pertimbangan sewajarnya.
Fatimah turut berharap seorang lagi anaknya yang bertugas dalam bidang farmasi di Sibu, Sarawak, dapat dipertimbangkan untuk bertukar lebih dekat dengan keluarga bagi memudahkan urusan bersama pada masa hadapan.
Anak pasangan itu, Nurul Iman Nurul Fuad, merupakan lepasan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Bagi Aminuddin, kisah Muaz menunjukkan peranan pertubuhan belia bukan sekadar menganjurkan program, malah boleh menjadi penghubung antara masyarakat dengan agensi yang mampu membantu menyelesaikan sesuatu urusan.
Lawatan ringkas itu sekurang-kurangnya memberi harapan baharu kepada keluarga Muaz bahawa selepas 12 tahun menguruskan segala keperluannya sendiri, mungkin ada beberapa perkara yang boleh dipermudahkan demi masa depan dan kebajikan anak kesayangan mereka.
