Dua pelajar UC TATI buru emas terakhir SUKMA Selangor 2026
MENGIMBANGI tuntutan sebagai pelajar sepenuh masa dengan cabaran sebagai atlet yang memburu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menjadi ujian berganda buat dua atlet angkat berat Terengganu.
Bagi Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri dan Farid Redzuan Mohd Zaubidi, perjalanan mereka bukan sekadar mengenai sukan apabila kedua-duanya yang sudah berlatih bersama sejak zaman persekolahan kini kembali bergandingan sebagai rakan sekelas di Universiti College TATI (UC TATI).
“Bukan mudah untuk kami membahagikan fokus antara kelas dan pusat latihan, terutama apabila perlu menyertai pelbagai kejohanan sejak semester pertama lagi,” kata Muhammad Shah Jeh’an, pelajar Diploma Sains dan Rekreasi UC TATI.
Menurutnya, sistem pembelajaran fleksibel yang disediakan UC TATI banyak membantu mereka menguruskan komitmen sebagai atlet tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar.

Farid Redzuan pula mengakui sokongan pihak pengurusan universiti dan pensyarah menjadi antara faktor penting dalam persiapan mereka menjelang penampilan terakhir di pentas SUKMA.
“Kami sudah melalui pelbagai cabaran bersama sepanjang program latihan SUKMA ini. Tetapi kami berkongsi satu impian yang sama iaitu pingat emas,” katanya.
“SUKMA Selangor 2026 akan menjadi penampilan terakhir kami. Ini peluang terakhir untuk membuktikan kepada keluarga, jurulatih dan semua yang telah menyokong kami bahawa segala pengorbanan selama ini berbaloi,” tambah Farid yang mula menceburi sukan angkat berat pada 2019 sebelum membuat debut SUKMA di Sarawak 2024.


Bagi edisi ke-22 SUKMA, Terengganu akan menampilkan seramai lapan atlet lelaki dan lapan atlet wanita dalam acara angkat berat yang dijadual berlangsung pada 16 hingga 20 Ogos 2026 di Dewan Seri Cempaka, Hulu Langat.
Pada SUKMA Sarawak 2024, kedua-dua anak jati Terengganu itu pulang tanpa sebarang pingat. Namun, mereka berjaya membina momentum dan meraih podium di peringkat kebangsaan dalam tempoh dua tahun selepas kejohanan berkenaan.
Meskipun gagal membawa pulang pingat pada edisi tersebut, skuad angkat berat Terengganu mencipta kejayaan dengan kutipan empat pingat emas dan dua perak, termasuk sumbangan emas Muhammad Izzan Ismadi dalam kategori 96 kilogram lelaki serta Nur Alissa Sofea Mohamadnor Wardi dalam kategori 71 kilogram wanita.
Pencapaian itu membantu skuad angkat berat Terengganu menutup kempen SUKMA Sarawak 2024 dengan empat pingat emas dan dua pingat perak, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai antara kuasa utama sukan angkat berat negara.
