UMT perkasa mahasiswa global terajui agenda Keadilan Biru, ESG
UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pendidikan tinggi dalam bidang kelestarian marin menerusi penganjuran Persidangan Kemuncak Pemimpin Muda Global ESG 2026 (ESG Global Young Leaders Summit 2026) yang menghimpunkan 130 pemimpin mahasiswa dari dalam dan luar negara.
Persidangan antarabangsa selama enam hari bermula 5 hingga 10 Ogos itu bertemakan "Menggerakkan Pemimpin Muda sebagai Pemangkin Keadilan Biru" (Mobilizing Young Leaders as Catalyst for Blue Justice), sekali gus menjadi platform strategik memperkasakan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tata Kelola (ESG) serta Keadilan Biru (Blue Justice) dalam mendepani krisis global seperti perubahan iklim, pencemaran marin dan ketidaksamaan sosial.
Kemuncak majlis menyaksikan penyerahan Resolusi Persidangan Kemuncak Pemimpin Muda Global ESG 2026 oleh wakil mahasiswa kepada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman sebagai simbol kesediaan generasi muda menjadi rakan strategik kerajaan bagi memperkukuh pelaksanaan agenda ESG di institusi pengajian tinggi (IPT).
Ketika merasmikan majlis penutupan persidangan berkenaan, Prof Dr Azlinda menyifatkan UMT berjaya memanfaatkan ekosistem marin dan pesisir pantai sebagai 'makmal hidup' (living laboratory) dalam melahirkan graduan yang memahami kelestarian menerusi pengalaman sebenar.
"Universiti bukan sekadar pusat penyampaian ilmu, tetapi institusi yang mencorakkan masa depan negara. Universiti perlu melahirkan penyelesai masalah, bukannya sekadar pencari pekerjaan; membina pemimpin, bukan sekadar menghasilkan graduan," katanya pada Sabtu.

Beliau turut menekankan bahawa penguasaan ESG kini bukan lagi sekadar nilai tambah kepada kebolehpasaran graduan, sebaliknya telah menjadi kompetensi asas yang menentukan daya saing sesebuah negara dalam ekonomi global.
Penganjuran kali kedua ini menterjemahkan pendekatan keseluruhan masyarakat (whole-of-society) menerusi kolaborasi strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UMT, Yayasan Perkasa Siswa dan RHB Bank selaku rakan strategik utama, dengan kerjasama Wetland School of Setiu, Astro AWANI, rakan industri serta organisasi masyarakat.
Sepanjang persidangan, para peserta mengikuti pelbagai pengisian seperti Blue Justice Conversation: Youth Driving Climate Solutions, ESG Leadership, ESG Reporting, pertandingan poster dan video, serta modul lapangan di Setiu Wetlands yang merangkumi aktiviti Sehari Sebagai Nelayan (A Day as a Fisherman), Makmal Nelayan Lestari (Sustainable Fisherman Lab) dan eksplorasi ekosistem bakau.
Majlis penutupan itu turut diserikan dengan prapelancaran buku 'Memaknai Pengalaman Mahasiswa Memperagakan Kemanusiaan', disusuli penyampaian Anugerah Poster ESG Terbaik (Best ESG Poster Award), Anugerah Pembentangan ESG Terbaik (Best ESG Presentation Award) dan Anugerah Ikon ESG 2026 (ESG Icon Award 2026).
Mewakili penerima Anugerah Ikon ESG 2026, Rasyidah Mohamed Farouk dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menegaskan bahawa pengiktirafan tersebut merupakan amanah besar bagi mahasiswa untuk terus bertindak sebagai pemangkin perubahan.


"Kami percaya bahawa perubahan besar tidak semestinya bermula dengan kuasa, tetapi bermula dengan keberanian untuk bertindak. Jika generasi muda gagal memimpin perubahan hari ini, sejarah akan menghakimi kita sebagai generasi yang mewarisi krisis tanpa berusaha mencipta penyelesaian," katanya.
