NAIB CANSELOR Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dinobatkan sebagai Ikon Rekreasi Luar bersempena Program Outdoor Expo 2026 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, dari 7 Ogos hingga semalam.

Program yang dihadiri lebih 50,000 penggiat dan peminat sukan lasak dari seluruh negara itu turut menyaksikan penyertaan lebih 200 pempamer serta mengetengahkan pelbagai program seperti pameran, jualan peralatan, forum, klinik dan simposium berkaitan industri rekreasi luar.

Pengurus Program Outdoor Expo 2026, Mohd Fathee Razali berkata, program anjuran Team Outdoor Expo Malaysia dengan kerjasama rakan strategik serta badan sokongan termasuk Persatuan Penganjur-penganjur Aktiviti Lasak Malaysia (PPALM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu merupakan penganjuran ekspo kali kelima sebagai inisiatif menghargai atlet dan penggiat sukan rekreasi luar di negara ini.

Katanya, Prof Md Amin dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Rekreasi Luar atas sumbangan signifikan beliau dalam bidang rekreasi luar di Malaysia serta peringkat antarabangsa.

- Advertisement / Iklan -

UPSI dalam satu kenyataan menyatakan Prof Md Amin adalah individu yang bertanggungjawab membina Kurikulum Pendidikan Kanu Kebangsaan dan Manual Pendidikan Kanu Kebangsaan yang digunakan sebagai standard pembelajaran sukan kanu di Malaysia, Brunei serta Kepulauan Riau, Indonesia.

Selain itu, beliau turut terbabit dalam penulisan lebih 20 buku teks, modul, SOP, kurikulum dan standard rekreasi luar yang diguna pakai oleh pelbagai kementerian, agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara.

- Advertisement / Iklan -

Kecenderungan beliau dalam bidang rekreasi luar turut diterjemahkan melalui penubuhan Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA), Glamping Park, Adventure Park, ResQ Team, Mountain School (dalam proses penubuhan) dan Marina Kayak di UPSI.

Kesemua inisiatif penubuhan ini telah memberikan impak yang signifikan terhadap industri rekreasi luar di Malaysia.

Prof Dr Md Amin juga bertanggungjawab terhadap pembangunan industri arus deras di Malaysia melalui pembukaan pelbagai pusat arus deras di Gopeng, Ulu Slim, Sungai Chamang serta Sungai Bernam yang memberikan sumbangan sosioekonomi yang mampan terhadap masyarakat sekitar serta alam semula jadi.

Atas sumbangan signifikan dalam industri rekreasi luar, Prof Md Amin sebelum ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sukarelawan Sukan Negeri Perak (2013), Anugerah Kembara Negara (2014), Anugerah Tokoh Rekreasi Luar Kebangsaan (2018), Tokoh Sukan Kanu Kuala Lumpur (2022) dan Anugerah Ikon Rekreasi Luar Outdoor Expo 2026.

Sementara itu, Prof Md Amin berkata, anugerah yang diterima bukanlah milik beliau seorang, sebaliknya menjadi lambang pengiktirafan kepada semua penggiat rekreasi luar di Malaysia yang telah bergiat aktif semenjak penubuhan Outbound School di Lumut, Program Malaysia Cergas, Program Rakan Muda serta Pusat Ko-Kurikulum Kebangsaan.

“Anugerah yang diterima bukanlah milik saya seorang, tetapi sebagai lambang pengiktirafan kepada semua penggiat rekreasi luar di Malaysia," katanya.

Beliau berharap anugerah yang diterimanya menjadi manifestasi terhadap jasa dan pengorbanan setiap rakan di luar sana yang berkorban tenaga, masa dan usaha dalam menjadikan industri rekreasi luar di Malaysia sebagai katalis ekonomi negara yang signifikan.

“Semoga anugerah yang diterima menjadi manifestasi terhadap jasa dan pengorbanan setiap rakan di luar sana yang berkorban tenaga, masa dan usaha dalam menjadikan industri rekreasi luar di Malaysia sebagai katalis ekonomi negara yang signifikan," katanya.