Galeri Razak Sensei simbol keamanan, perkukuh hubungan pendidikan Malaysia-Jepun
PENUBUHAN Galeri Razak Sensei di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja mengabadikan legasi tokoh pendidik negara, Allahyarham Datuk Abdul Razak Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Razak Sensei, malah menjadi simbol keamanan serta memperkukuh hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dengan Jepun.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki berkata, galeri berkenaan berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara melalui pendidikan, dialog antara budaya dan nilai kemanusiaan yang diperjuangkan oleh Razak Sensei.
Menurut beliau, tarikh perasmian galeri itu turut membawa makna mendalam apabila berlangsung pada 6 Ogos, bertepatan dengan ulang tahun ke-81 pengeboman atom di Hiroshima yang mengorbankan ribuan nyawa serta menjadi detik bersejarah yang mengubah kehidupan Razak Sensei sebagai antara mangsa yang terselamat.
Beliau berkata, ketika Hiroshima dibom, Razak Sensei sedang melanjutkan pengajian di Universiti Hiroshima sebelum terselamat daripada tragedi itu. Peristiwa berkenaan memaksanya pulang ke Tanah Melayu dan menyambung pengajian di Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 1946.
“Keajaiban beliau terselamat daripada tragedi Hiroshima serta keberanian beliau mengubah pengalaman pahit itu menjadi komitmen sepanjang hayat terhadap keamanan dan pendidikan merupakan teladan yang wajar dicontohi oleh kita semua.
“Kisah kehidupan Razak Sensei mengingatkan kita bahawa pendidikan jauh melangkaui penyampaian ilmu semata-mata. Pendidikan ialah suatu kuasa yang membentuk sahsiah, menyemai rasa saling menghormati serta membina masyarakat yang aman,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Razak Sensei di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, pada Rabu.

Shikata berkata, sekembalinya ke Tanah Melayu, Razak Sensei mendedikasikan seluruh kehidupannya kepada dunia pendidikan dan muncul sebagai antara perintis pendidikan bahasa Jepun serta pengajian Jepun di Malaysia.
Menurut beliau, sumbangan tokoh itu bukan sahaja melahirkan generasi pendidik dan memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua negara, malah turut menyumbang kepada pembentukan Dasar Pandang ke Timur yang sehingga kini kekal sebagai antara tonggak utama hubungan Malaysia-Jepun.
“Saya berharap para pelajar, pendidik, penyelidik dan pengunjung akan memperoleh inspirasi daripada galeri ini untuk terus menghargai pendidikan, dialog antara budaya dan nilai-nilai kemanusiaan, di samping memperluaskan lagi kerjasama antara Jepun dan Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penubuhan Galeri Razak Sensei merupakan hasil usaha berterusan universiti itu dalam mengangkat dan mendokumentasikan legasi tokoh berkenaan secara sistematik menerusi wacana intelektual, projek penyelidikan serta pemeliharaan bahan sejarah.
Beliau berkata, usaha tersebut bermula menerusi Wacana Intelektual Razak Sensei pada tahun 2015 dan diteruskan melalui pelbagai projek penyelidikan di UPSI bagi memastikan sumbangan besar Razak Sensei dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dengan Jepun terus dikenang.
“Hasil daripada penyelidikan tersebut, Galeri Razak Sensei kini menghimpunkan sebanyak 525 koleksi yang terdiri daripada barangan peribadi, dokumen sejarah, gambar serta artifak berharga milik Allahyarham Razak Sensei.
“Setiap koleksi yang dipamerkan menyimpan nilai sejarah yang tersendiri serta menceritakan kisah keberanian, pengorbanan dan semangat juang yang luar biasa,” katanya.
Turut hadir ialah waris Allahyarham Razak Sensei, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Dzulkifly Abdul Razak; Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Prof. Dr. Azmi Mohamed; Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Ahmad Burak; Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said; serta 40 pelajar dari Pusat Bahasa Teikyo Kuala Lumpur.
