TIGA pelajar daripada institusi Politeknik dan Kolej Komuniti mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Pertandingan Kemahiran Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCCSkills) 2026, sekali gus muncul sebagai antara bakat TVET terbaik negara yang berpotensi menggalas cabaran Malaysia di pentas kemahiran antarabangsa.

Penerima Anugerah Minda Emas dinobatkan kepada Irfan Haiqal Azmira dari Kolej Komuniti Ampang menerusi bidang Web Technologies, manakala Anugerah Jari Emas dimenangi Nur Aishah Athirah Sulahudin dari Politeknik Balik Pulau dalam bidang Graphic Design Technology. Anugerah Tangan Emas pula menjadi milik Mohammad Zuhairul Naim Abdullah dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah menerusi bidang Additive Manufacturing.

Pengiktirafan itu diberikan pada Majlis Perasmian Penutup POLYCCSkills 2026 yang berlangsung di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam dan disempurnakan Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Mohd Daud Isa.

POLYCCSkills 2026 menghimpunkan 349 peserta daripada 80 politeknik dan kolej komuniti seluruh negara yang bersaing dalam 27 bidang kemahiran, menjadikannya antara platform pembangunan bakat TVET terbesar di bawah JPPKK.

- Advertisement / Iklan -

Tiga pemenang dalam setiap kategori turut diraikan pada majlis berkenaan.

Foto Media PSA
Foto Media PSA

- Advertisement / Iklan -

Dalam ucapannya, Mohd berkata, POLYCCSkills bukan sekadar pertandingan untuk merebut pingat, sebaliknya menjadi platform membentuk graduan TVET yang memenuhi standard industri serta bersedia bersaing di peringkat global.

"POLYCCSkills bukan sekadar sebuah pertandingan. Platform ini menjadi medan untuk menguji kompetensi sebenar peserta berdasarkan standard industri, di samping menyemai budaya kecemerlangan yang mendorong setiap individu untuk sentiasa berusaha mencapai prestasi terbaik."

Beliau berkata, pertandingan tersebut turut menjadi medan memupuk inovasi, kreativiti, keyakinan diri dan kemahiran insaniah, selain menjadi platform strategik melahirkan wakil negara ke pertandingan berprestij seperti WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), ASEAN Skills Competition (ASC) dan WorldSkills Competition (WSC).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK, Azirin Abdul Aziz berkata, penyertaan yang memberangsangkan pada tahun ini membuktikan POLYCCSkills terus menjadi platform utama pembangunan bakat pelajar TVET negara.

Menurut beliau, selain menjadi medan pertandingan, POLYCCSkills turut berfungsi sebagai ruang perkongsian ilmu, pemindahan teknologi, pembentukan jaringan profesional serta pengukuhan hubungan strategik antara institusi dan industri.

"POLYCCSkills merupakan antara inisiatif penting di bawah TVET STAR POLYCC yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat berprestasi tinggi melalui latihan berstruktur, bimbingan jurulatih berpengalaman dan penilaian berasaskan standard industri.

Foto Media PSA
Foto Media PSA

"Ia bukanlah destinasi terakhir bagi para peserta. Sebaliknya, pertandingan ini menjadi platform rasmi pemilihan wakil POLYCC Malaysia untuk menyertai pertandingan kemahiran yang lebih tinggi seperti WorldSkills Malaysia Belia, ASEAN Skills Competition dan WorldSkills Competition," katannya.

Dalam pada itu, Mohd Daud berkata, penganjuran POLYCCSkills selaras dengan usaha JPPKK menterjemahkan 13 Iltizam Ketua Pengarah JPPKK, khususnya dalam melahirkan graduan yang kompeten, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memastikan setiap pelajar berpeluang mengembangkan bakat mengikut potensi masing-masing.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jurulatih yang memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan peserta.

"Setiap kejayaan yang diraih oleh para peserta bukanlah hasil usaha individu semata-mata. Di sebalik setiap pencapaian, terserlah dedikasi para jurulatih yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu, melaksanakan latihan secara berterusan serta berkorban masa dan tenaga demi memastikan setiap peserta mencapai potensi terbaik mereka," katanya.

POLYCCSkills merupakan penjenamaan pertandingan kemahiran pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti yang berfungsi sebagai platform latihan, perkongsian ilmu dan pemilihan wakil POLYCC Malaysia ke pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan serta antarabangsa.