MENYEDIAKAN akses pendidikan tinggi kepada lebih 170,000 pelajar menerusi puluhan kampus cawangan di seluruh negara melibatkan operasi logistik yang rumit memerlukan daya tahan dan pembudayaan kualiti yang ekstrem.

Tuntutan membudayakan kualiti ini selari dengan pemikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 yang menegaskan bahawa ganjaran dan keberkesanan perkhidmatan awam kini terikat secara langsung dengan produktiviti serta kecekapan tadbir urus.

"Menerusi reformasi perkhidmatan awam, penyampaian ganjaran mestilah diukur berdasarkan produktiviti dan sumbangan secara langsung kepada kecekapan penyampaian perkhidmatan di semua peringkat. Ini terikat secara mutlak dengan apa yang kita sebut sebagai tatakelola yang baik dan memuaskan."

Menyahut cabaran tersebut, UiTM meletakkan Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) sebagai mekanisme teras untuk memacu dan mengukur budaya cemerlang di seluruh ekosistemnya.

- Advertisement / Iklan -

Seperti yang ditekankan oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM;

“Kualiti di UiTM melangkaui sasaran statistik, ia adalah manifesto kecekapan dan keberkesanan ekosistem universiti secara menyeluruh.”

- Advertisement / Iklan -

Beliau turut menyatakan bahawa penerapan kualiti menerusi AKNC merupakan wadah pemikiran strategik untuk memastikan setiap warga UiTM bergerak secara bersatu, teratur, dan berimpak tinggi

Dinamika Jaminan Kualiti: Melangkaui standard asas ISO dan MQA

Secara tradisinya, landskap pengajian tinggi di Malaysia berlandaskan pematuhan piawaian jaminan kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001. Garis panduan ini amat kritikal sebagai acuan asas bagi memastikan keselarasan prosedur dan akreditasi program akademik di semua institusi.

Bagaimanapun, dalam era pendidikan tinggi yang semakin kompleks dan mencabar, pematuhan kepada standard asas semata-mata tidak lagi mencukupi.

Sistem jaminan kualiti konvensional cenderung berfokus kepada kepatuhan dokumentasi dan kawalan proses reaktif bagi mengelakkan ketidakpatuhan.

Namun, untuk memacu sesebuah universiti ke hadapan, kerangka pengurusan memerlukan daya dorong yang lebih strategik, berinovasi, dan berupaya mendepani cabaran masa hadapan.

Bagi universiti terbesar di Malaysia seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang operasinya bergerak dibawah konsep 1 UiTM Multisistem, kebergantungan kepada pematuhan asas berisiko mewujudkan kekangan dari segi penyeragaman standard perkhidmatan.

Justeru, pengurusan kualiti di UiTM tidak boleh dilaksanakan secara berasingan (silo mentality), sebaliknya menuntut satu mekanisme tadbir urus yang mampan untuk menyelaraskan prestasi di antara kampus induk dan seluruh kampus cawangan di peringkat nasional.

Keunikan pemikiran ekosistem Model Malcolm Baldrige

Di sinilah letaknya keunikan yang membezakan pendekatan yang digunakan UiTM berbanding universiti lain. Walaupun matlamat akhirnya sama iaitu memupuk budaya kerja cemerlang, model rujukan yang digunakan adalah berbeza.

Melalui mekanisme Baldrige dalam AKNC, UiTM tidak memandang kualiti secara berasingan. Kejayaan sesebuah fakulti atau kampus negeri tidak hanya diukur berdasarkan berapa ramai graduan diterbitkan (hasil), tetapi bagaimana kepimpinan memacu strategi, menterjemahkan keperluan industri (pelanggan), dan menyokong kebajikan warga kerja (workforce) untuk mencapai sasaran tersebut.

Aspirasi ini selari dengan penegasan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahukan institusi pengajian tinggi sentiasa meletakkan jaminan kualiti pada penanda aras tertinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, sebelum ini menekankan bahawa kualiti akademik dan tadbir urus yang tinggi adalah tiket utama universiti tempatan untuk kekal relevan dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Langkah UiTM ini menyediakan solusi konkrit iaitu melalui AKNC yang bertindak sebagai cermin kendiri (self-assessment) berasaskan bukti dan data yang ‘mewajibkan’ seluruh warga universiti membandingkan (benchmark) prestasi mereka secara berterusan.

Cabaran memartabat kualiti

Mewujudkan kerangka kerja yang hebat di atas kertas adalah satu hal yang bukan mudah tetapi membudayakannya dalam kalangan puluhan ribu warga akademik dan pentadbiran adalah cabaran berbeza.

Untuk memastikan AKNC tidak berubah menjadi acara tahunan yang melelahkan atau sekadar "pesta mengumpul penyertaan", pengurusan tertinggi universiti perlu memastikan penterjemahan kualiti ini memberi impak langsung kepada pengalaman pembelajaran pelajar dan kesejahteraan masyarakat.

Budaya kualiti yang sejati tidak diukur pada kilauan trofi AKNC yang diangkat di atas pentas, tetapi pada tahap kepuasan pelajar di bilik kuliah, kepantasan urusan pentadbiran di kaunter, serta kerelevanan penyelidikan yang dihasilkan untuk negara.

Sebagai universiti teras bumiputera yang mempunyai impak sosio-ekonomi terbesar di Malaysia, langkah UiTM meletakkan penanda aras kualiti menerusi model Baldrige adalah satu komitmen yang wajar diteladani.

Tugas warga UiTM kini adalah membuktikan bahawa mekanisme ini berupaya melahirkan graduan yang bukan sahaja ramai dari segi jumlah, tetapi unggul dari segi sahsiah, kebolehpasaran, dan kualiti.

* Prof. Dr. Haslinda Yusoff ialah Penolong Naib Canselor, Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu, merangkap Profesor di Fakulti Perakaunan, UiTM dan Prof. Madya Dr. Wan Hartini Wan Zainodin ialah Ketua Komunikasi dan Pengembangan Ilmu, Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu merangkap pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM.