Belum tamat belajar, graduan TVET MARA dah jadi rebutan industri
BAYANGKAN belum sempat menggenggam diploma, tetapi sudah menerima tawaran kerja daripada syarikat industri. Itulah realiti yang dinikmati sebahagian pelajar TVET MARA Sungai Petani selepas menyertai Program NEXGEN, sekali gus membuktikan kemahiran digital kini menjadi antara aset paling bernilai dalam pasaran pekerjaan.
Kejayaan itu menjadi bukti keberkesanan kerjasama strategik antara TVET MARA Sungai Petani dan CIDB Digital Sdn. Bhd. yang memberi fokus kepada pembangunan kompetensi Building Information Modelling (BIM), teknologi digital yang semakin penting dalam industri pembinaan.
Kerjasama tersebut turut menyaksikan pelancaran NEXGEN Hub TVET MARA Sungai Petani, sebuah pusat pembangunan kompetensi BIM yang bakal menjadi hab latihan, pensijilan profesional dan pembangunan bakat digital untuk pelajar TVET.
Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT) MARA, Ir. Nuriman Yusop, yang turut menyampaikan sijil kepada kohort pertama peserta Program NEXGEN yang berjaya memperoleh pensijilan BIM diiktiraf industri.
Pensijilan itu bukan sekadar melengkapkan kelayakan akademik, malah menjadi nilai tambah yang meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor pembinaan yang kini semakin dipacu teknologi digital.
Menurut Nuriman, kolaborasi bersama CIDB Digital membuktikan komitmen MARA memastikan latihan dan kurikulum TVET sentiasa seiring dengan kehendak industri.
"Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang memiliki kemahiran digital, berdaya saing dan bersedia menyokong transformasi sektor pembinaan negara," katanya.
Beliau berkata, penubuhan NEXGEN Hub turut membuka ruang kepada pelaksanaan latihan profesional, pensijilan industri, penyelidikan gunaan, perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi yang memberi manfaat kepada pelajar, tenaga pengajar dan pemain industri.
Inisiatif itu selaras dengan aspirasi MARA dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), selain menyokong agenda pendigitalan sektor pembinaan negara menerusi Pelan Transformasi Industri Pembinaan (CITP).
Menerusi Program NEXGEN, TVET MARA Sungai Petani optimis untuk terus melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, malah mampu menjadi pemacu kepada transformasi digital sektor pembinaan Malaysia.
