BERDEPAN ujian besar kehilangan bapa semasa minggu peperiksaan tidak mematahkan semangat graduan Diploma Teknologi Digital daripada Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini untuk tekun belajar meraih kecemerlangan sehingga berjaya merangkul dua anugerah berprestij.

Teerti Ganapathi Rao, 22, menerima Anugerah Ketua Pengarah serta Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026 hari ini.

Teerti yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.61 berkata, kejayaan berkenaan cukup bermakna kerana pernah melalui pengalaman mencabar apabila bapanya meninggal dunia ketika beliau sedang menduduki peperiksaan semester dua pada 2023.

"Saya sangka tiada rezeki untuk menerima anugerah ini, tetapi apabila dimaklumkan terpilih, saya benar-benar terkejut dan bersyukur," katanya kepada pemberita selepas sidang pertama istiadat konvokesyen itu yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan Harumanis, PTSS di sini hari ini.

- Advertisement / Iklan -

Konvokesyen yang berlangsung hari ini hingga 9 Ogos menghimpunkan sebanyak 6,104 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Teerti yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik berkata dorongan dan nasihat mendiang bapanya menjadi kekuatannya untuk meneruskan pengajian walaupun beberapa kali terlintas untuk berputus asa.

- Advertisement / Iklan -

Teerti bersama ibu Subuletchumy Muniandi (kiri), dan kakaknya Deepti Ganapathi Rao (kanan) bergambar pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026.
Teerti bersama ibu Subuletchumy Muniandi (kiri), dan kakaknya Deepti Ganapathi Rao (kanan) bergambar pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026.

"Saya sebenarnya pernah berasa sukar untuk meneruskan pengajian kerana mahu mengikuti program asasi sebelum ini. Namun, ayah sentiasa menggalakkan saya menamatkan diploma dan nasihat itulah yang saya pegang sehingga berjaya menamatkan pengajian," katanya.

Sepanjang tiga tahun di PTSS, Teerti berkata beliau turut menerima Anugerah Ketua Jabatan bagi semester satu, tiga dan empat selain aktif sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sekali gus membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam dirinya.

Beliau juga pernah mewakili PTSS menyertai Program Kerjasama dan Pembentangan Kertas Seminar di Universiti Putra Indonesia bersama pensyarah dan rakan-rakan pelajar selain membangunkan Koop Printing System sebagai projek tahun akhir, iaitu sebuah sistem mempertingkat kecekapan pengurusan perkhidmatan percetakan koperasi.

Graduan berasal dari Perlis itu turut menarik perhatian ramai kerana fasih berbahasa Mandarin, Tamil, Telugu selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta boleh memahami asas bahasa Perancis, Jepun dan Korea.

Teerti berkata, beliau kini menunggu keputusan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) bagi menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang teknologi maklumat dengan Universiti Malaya sebagai pilihan pertama serta mengimpikan untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

"Saya berminat dengan bidang teknologi maklumat sejak berusia 16 tahun selepas didedahkan kepada dunia komputer dan pengekodan oleh rakan-rakan yang dikenalinya melalui permainan video.

"Bidang ini memang mencabar, namun jika belajar langkah demi langkah dan benar-benar memahami konsep, semuanya akan menjadi lebih mudah,” katanya. - Bernama