BAYANGKAN belajar terus daripada individu yang pernah mengendalikan krisis korporat, menerajui transformasi digital atau menghasilkan karya yang mencorakkan industri kreatif negara. Itulah pengalaman yang bakal dinikmati mahasiswa IACT College menerusi pelancaran program Master Mentor & Legacies, satu inisiatif baharu yang menghubungkan dunia akademik dengan pemain industri.

Program berkenaan menghimpunkan tokoh-tokoh berpengaruh dalam bidang komunikasi, media, pemasaran, perfileman, teknologi digital dan industri kreatif untuk berkongsi kepakaran serta membimbing generasi pelapis.

Ketua Pegawai Eksekutif IACT College, Timothy Chan berkata, institusi pendidikan tinggi tidak lagi boleh bergantung kepada pembelajaran di bilik kuliah semata-mata jika mahu melahirkan graduan yang benar-benar bersedia memasuki alam pekerjaan.

"Peranan kami bukan sekadar menyampaikan ilmu di bilik kuliah, tetapi menyediakan platform yang membolehkan pelajar belajar secara terus daripada pengamal industri, sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk membina kerjaya yang berjaya," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Melalui inisiatif itu, mahasiswa akan mendapat pendedahan secara langsung menerusi sesi mentor, syarahan industri, pembangunan kurikulum bersama, projek sebenar serta peluang membina rangkaian profesional dengan tokoh-tokoh industri.

Antara individu yang menerima pengiktirafan sebagai Master Mentor ialah Syed Mohammed Idid, Pengurus Besar Strategik Komunikasi dan Libat Urus West Coast Expressway Sdn. Bhd. serta Timbalan Pengerusi Public Relations Practitioners Society of Malaysia (PRactitioners).

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Dengan pengalaman lebih 38 tahun dalam komunikasi strategik, komunikasi korporat, pengurusan krisis dan penglibatan pihak berkepentingan, beliau turut dikenali sebagai antara pengamal komunikasi yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab dalam strategi komunikasi.

Pelantikan beliau sebagai Master Mentor mencerminkan usaha IACT College melahirkan pengamal komunikasi masa depan yang bukan sahaja celik teknologi, malah mengutamakan etika, integriti dan nilai profesional dalam era AI.

Turut menerima pengiktirafan ialah tokoh media dan teknologi ASEAN, Datuk Michael Chan, usahawan digital Ariel Koh, pengasas Malaysia Food and Travel, pengarah filem Reuben Kang, serta Arshad Ahamed, Regional Head of Strategy, Data & Insights, GrowthOps Asia.

Sementara itu, Ketua Akademik IACT College, Nicola Wong berkata, Master Mentor bukan sekadar menerima gelaran kehormat, sebaliknya akan terlibat secara aktif dalam memperkukuh kurikulum supaya sentiasa selari dengan keperluan industri yang sentiasa berubah.

Selain menghargai tokoh industri, IACT College turut meraikan kejayaan alumninya menerusi pengenalan IACT Legacies yang mengiktiraf bekas pelajar yang berjaya mencipta nama dalam industri kreatif.

Dua alumni yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Irwin Oon, Ketua Operasi Imagineers Film dan Alvin Wee, pereka multimedia serta penerbit kreatif yang kini aktif dalam industri digital.