UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) dan Japan International Cooperation Agency (JICA) pada Khamis menandatangani perjanjian untuk menyediakan pendidikan pascasiswazah dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi kepada pelajar Palestin.

Inisiatif selama enam tahun itu akan bermula Oktober 2026 hingga April 2032, dan dijangka memberikan manfaat kepada antara 15 dan 20 pelajar Palestin.

JICA akan membiayai biasiswa, manakala UTM dan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) akan menyediakan penyeliaan penyelidikan, akses makmal serta sokongan akademik.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam ucapannya berkata pembangunan semula Palestin perlu melangkaui usaha memulihkan infrastruktur fizikal, dan menumpukan kepada pembangunan modal insan menerusi pendidikan tinggi.

- Advertisement / Iklan -

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) Profesor Dr Zainal Amin Ayub pada pelancaran program Malaysia-Japan Strategic Partnership: Engineering a Resilient Palestine serta majlis memeterai memorandum perjanjian (MoA) antara UTM dan JICA.

Turut hadir Presiden JICA Dr Akihiko Tanaka, Duta Palestin ke Malaysia Jehad Fouad Alqdra, Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki dan Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

- Advertisement / Iklan -

Zambry berkata, pendidikan akan menjadi faktor utama dalam melahirkan jurutera, penyelidik, pendidik, perancang dan pemimpin masa depan yang diperlukan bagi menyokong pemulihan jangka panjang Palestin.

Beliau berkata, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam melengkapkan rakyat Palestin dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membina semula infrastruktur, memulihkan perkhidmatan asas, mengurus sumber serta membangunkan penyelesaian mampan.

Sehubungan dengan itu, kerjasama strategik berkenaan membolehkan pelajar Palestin mengikuti pengajian pascasiswazah dan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Malaysia dan Jepun untuk memanfaatkan pendidikan dan penyelidikan dalam menangani cabaran global serta menyokong pembangunan jangka panjang Palestin.

"Bantuan kemanusiaan memenuhi keperluan hari ini, manakala pendidikan membina kekuatan yang diperlukan untuk hari esok," katanya.

Terdahulu, Mohd Shafry berkata inisiatif itu memperluas kerjasama yang telah sekian lama terjalin antara UTM dan Jepun dalam usaha menyokong Palestin menerusi pendidikan, pembinaan kapasiti dan pembangunan jangka panjang.

Sementara itu, Tanaka menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai pelaburan untuk masa depan Palestin serta generasi jurutera, penyelidik dan pemimpin akan datang.

"Pembangunan modal insan sama pentingnya dengan pembinaan semula infrastruktur fizikal," katanya. - Bernama