MSU, FINAS berganding bahu lahirkan bakat baharu industri kreatif
USAHA memperkukuh ekosistem industri kreatif negara terus diperkasakan apabila Management and Science University (MSU) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, pensyarah dan pemain industri untuk membangunkan bakat, penyelidikan serta inovasi dalam bidang perfileman dan kandungan kreatif.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, MSU memaklumkan kerjasama strategik itu dijangka menyokong pertumbuhan berterusan sektor perfileman dan industri kreatif negara menerusi sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan agensi kerajaan, selain melahirkan lebih ramai graduan yang kompeten serta memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Majlis pemeteraian MoU disempurnakan oleh Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Turut hadir Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Naib Presiden Kanan Perhubungan Industri dan Keusahawanan MSU, Profesor Dr Abdul Jalil Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Datin Rozita Waty Ridzuan serta barisan pengurusan kanan kedua-dua organisasi.
Menerusi kerjasama itu, MSU dan FINAS akan bekerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuk pembangunan kurikulum, pelaksanaan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling), latihan profesional, pensijilan, khidmat perundingan serta peluasan jaringan industri bagi memperkukuh pembangunan modal insan dalam sektor kreatif.

"Kolaborasi tersebut turut membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri, menyertai projek bersama penggiat industri serta mengikuti program pertukaran akademik dan perkongsian kepakaran melalui pelantikan profesor atau pensyarah adjung daripada kalangan profesional industri kreatif.
"Selain itu, kedua-dua pihak akan menganjurkan pelbagai program seperti festival filem, seminar, persidangan, ceramah industri dan program pembangunan kandungan kreatif yang melibatkan mahasiswa, penggiat industri serta komuniti," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, dalam aspek penyelidikan pula, MSU akan berkongsi kepakaran menerusi Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (RDI), termasuk pertukaran bahan penyelidikan, penerbitan ilmiah dan pembentangan data pendidikan serta saintifik bagi menyokong pelaksanaan inisiatif bersama.
"MSU juga akan menyediakan kemudahan kampus sebagai lokasi pelaksanaan aktiviti kolaboratif, sekali gus membolehkan pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal serta dekat dengan kehendak industri.
"Kerjasama strategik ini diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif negara dengan menghubungkan dunia akademik dan industri secara lebih menyeluruh, selain melahirkan graduan yang kreatif, berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan sektor perfileman serta kandungan digital yang semakin berkembang," katanya.
