UMK sasar perluas kerjasama akademik dengan TSPI Uzbekistan
UNIVERISITI Malaysia Kelantan (UMK) bercadang memperluas kerjasama strategik dengan Institut Pedagogi Negeri Termez (TSPI), Uzbekistan susulan kejayaan penganjuran Program Pertukaran Bahasa dan Kebudayaan Antarabangsa TSPI-UMK (ILCEP) 2026.
Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata, program yang dilaksanakan di bawah inisiatif EduPelancongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu telah meletakkan asas kukuh bagi mempererat kerjasama akademik serta perkongsian institusi jangka panjang antara kedua-dua universiti.
Beliau berkata, kerjasama itu boleh diperluas melangkaui mobiliti pelajar dengan merangkumi staf dan pertukaran akademik, penyelidikan serta penerbitan bersama, penganjuran persidangan dan bengkel, pembangunan kurikulum, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, selain projek inovasi dan libat urus komuniti.
"Berakhirnya ILCEP 2026 tidak seharusnya menjadi penghujung hubungan ini. Sebaliknya, jadikan program ini sebagai pemangkin kepada perkongsian strategik yang lebih kukuh antara kedua-dua institusi," katanya baru-baru ini.
Arham berkata, ILCEP 2026 mencerminkan komitmen KPT dalam mengantarabangsakan pendidikan tinggi menerusi pengalaman pendidikan dan kebudayaan yang bermakna di bawah program EduPelancongan.
Beliau berkata, inisiatif itu melangkaui pelancongan konvensional dengan mengintegrasikan pendidikan, kebudayaan, libat urus komuniti dan pembelajaran berasaskan pengalaman yang turut memberi peluang kepada universiti untuk mengetengahkan bukan sahaja kecemerlangan akademik, malah kekayaan budaya, warisan dan masyarakat berbilang kaum Malaysia.
Katanya, program itu turut menyokong aspirasi UMK untuk melahirkan siswazah yang berdaya saing di peringkat global, mempunyai kecerdasan budaya serta bertanggungjawab dari segi sosial. - Bernama
