Program i-FB KPDN manfaat 1,500 pelajar IPT Terengganu
SEBANYAK 1,500 pelajar di lapan institusi pengajian tinggi (IPT) di Terengganu menerima manfaat daripada pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) yang diusahakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tahun ini.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, antara sumbangan disalurkan ialah biskut, susu, makanan segera dan makanan siap dimasak yang dianggarkan bernilai RM17,123.00.
Beliau berkata, inisiatif itu hasil kerjasama KPDN dengan pelbagai syarikat korporat, pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan bantuan makanan dapat disalurkan kepada golongan sasar secara lebih berkesan.
"Inisiatif i-FB adalah satu usaha KPDN membantu meringankan beban kos sara hidup golongan sasar melalui pengagihan makanan yang selamat dan berkualiti, di samping mengurangkan pembaziran makanan serta memperkukuh kelestarian dan kebajikan komuniti.
"Sumbangan diagih kepada pelajar berdaftar sebagai penerima Food Bank Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu, Politeknik Besut, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Kampus Dato' Razali, Politeknik Hulu Terengganu dan IPG Kampus Sultan Mizan," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan i-FB kepada IPT Terengganu di UniSZA, pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Mohd Mufsi berkata KPDN Terengganu telah melaksanakan 771 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negeri bermula 1 Januari hingga semalam.
Beliau berkata dianggarkan satu juta pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat di segenap pelusuk negeri mendapat manfaat daripada program berkenaan.
"PJRM Bergerak mencatat jumlah penganjuran tertinggi iaitu 430 siri, PJRM Premis (303 siri), PJRM Kampus (15 siri), PJRM Pasar (12 siri) dan PJRM Terbuka (11 siri). Ini menunjukkan komitmen KPDN dalam memperluas capaian program khususnya kepada komuniti di luar bandar, kawasan perumahan dan lokasi yang memerlukan.
"Sambutan positif daripada rakyat juga membuktikan bahawa pelaksanaan PJRM berjaya mencapai objektif utama iaitu membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup serta menyediakan akses kepada harga barangan keperluan asas pada harga berpatutan," katanya. - Bernama
