KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperkasakan penyelarasan strategik dan mekanisme pemantauan proaktif bersama badan profesional tempatan dan luar negara bagi memastikan isu pengiktirafan program pengajian graduan luar negara dapat ditangani secara berkesan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, langkah itu termasuk mewujudkan rekod pelajar Malaysia di luar negara untuk memantau dan memastikan aspek akreditasi serta kualiti pengajian mereka sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, penambahbaikan itu penting untuk mengelak berulangnya isu teknikal di peringkat pengiktirafan badan profesional seperti yang berlaku terhadap empat graduan farmasi Universiti Alexandria di Mesir baru-baru ini.

"Pokok pangkal masalah tersebut adalah pertukaran, ia masalah teknikal apabila berlaku pertukaran nama kepada program yang diikuti oleh mereka di Mesir. Masalah juga sebenarnya tidak berlaku di peringkat Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Bagi kami, pengiktirafan itu terus berlaku.

- Advertisement / Iklan -

"Isunya adalah apabila tiada pemakluman yang dibuat oleh Universiti Alexandria kepada badan profesional iaitu kepada Lembaga Farmasi Malaysia," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Norhasmimi Abdul Ghani berhubung kesediaan kerajaan memperkenalkan mekanisme pemantauan semua program profesional di luar negara bagi penyelarasan antara institusi pengajian, agensi pengiktirafan dan badan profesional susulan kes melibatkan empat graduan berkenaan.

- Advertisement / Iklan -

Adam Adli berkata, MQA bersama badan profesional bertanggungjawab terhadap kawal selia proses jaminan kualiti program yang ditawarkan pemberi pendidikan tinggi tempatan melalui penubuhan Jawatankuasa Teknikal Bersama.

Selain itu, beliau berkata, kuasa mendaftarkan graduan sebagai pengamal profesional sama ada dari dalam mahupun luar negara adalah tertakluk sepenuhnya di bawah peruntukan undang-undang dan tetapan badan profesional berkaitan.

"Bagi graduan luar negara, mereka perlu menyemak dan memohon pendaftaran profesional kepada badan profesional yang berkaitan.

"Ini kerana terdapat keadaan tertentu di mana seseorang graduan itu perlu memenuhi syarat tambahan seperti latihan klinikal, tempoh latihan amali, pemeriksaan profesional atau penilaian kompetensi sebelum mereka layak didaftarkan," katanya. - Bernama