UPM perkasa pembelajaran imersif melalui Makmal Bionic, tingkat latihan klinikal pelajar
UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan menerusi pelancaran Makmal Bionic Imersif hasil kerjasama strategik bersama G Plus Tech Sdn. Bhd., sekali gus membuka lembaran baharu dalam kaedah pembelajaran berasaskan teknologi untuk latihan klinikal dan profesional.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, kemudahan itu menjadi platform penting dalam memperkenalkan pendekatan pembelajaran imersif yang lebih interaktif, realistik dan selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
Menurutnya, teknologi tersebut membolehkan pelajar menjalani simulasi pelbagai situasi klinikal tanpa perlu berdepan risiko sebenar, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka.
"Hari ini kita menyaksikan hasil kerjasama strategik antara UPM dan G Plus Tech yang berjaya merealisasikan sebuah Makmal Bionic Imersif. Kita berharap kerjasama ini akan diteruskan kerana potensinya masih sangat besar untuk dikembangkan," katanya ketika merasmikan makmal itu di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Turut hadir Dekan FPSK, Prof. Dr. Normala Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif G Plus Tech Sdn. Bhd., Dr. Nurliza Md. Azzam.
Ahmad Farhan berkata, pendekatan pembelajaran menggunakan teknologi VR memberi nilai tambah kepada pelajar kerana mereka dapat menguasai prosedur klinikal dalam persekitaran yang selamat sebelum menjalani latihan sebenar di hospital.
"Jika dahulu pelajar banyak belajar melalui pengalaman secara langsung atau kaedah cuba dan silap, kini mereka boleh menjalani simulasi yang lebih realistik. Pendekatan ini dijangka meningkatkan kemahiran, kompetensi serta keyakinan mereka sebelum berdepan situasi sebenar," katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi tersebut juga membantu mengurangkan tekanan pelajar kerana mereka telah didedahkan dengan pelbagai senario melalui latihan simulasi.
Sementara itu, Dr. Nurliza berkata, G Plus Tech membangunkan makmal berkenaan bagi menyokong transformasi sistem pendidikan negara melalui penggunaan AI, VR, AR dan teknologi Private GPT.

"Pelajar hari ini mahukan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan hampir dengan situasi sebenar. Teknologi yang kami bangunkan mampu menjadikan proses pembelajaran lebih menarik serta meningkatkan kefahaman mereka," katanya.
Beliau berkata, sistem Private GPT yang digunakan dibangunkan berasaskan silibus dan dokumen rasmi institusi bagi memastikan jawapan yang diberikan tepat mengikut kurikulum serta melindungi keselamatan data.
"Matlamat kami bukan sekadar membangunkan sebuah makmal, tetapi mewujudkan ekosistem pembelajaran pintar yang mampu melahirkan graduan lebih yakin, kompeten dan bersedia menghadapi situasi sebenar apabila memasuki alam pekerjaan," katanya.
Dr. Nurliza turut menjelaskan bahawa selepas projek perintis di UPM, G Plus Tech merancang memperluaskan penggunaan teknologi tersebut ke institusi pengajian tinggi lain, hospital serta organisasi kerajaan dan swasta bagi menyokong agenda transformasi digital negara.
