PERMAINAN papan CASHFLOW 101 menjadi tarikan utama dalam ASEAN University Cashflow Challenge 2026 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini, apabila hampir 200 mahasiswa dari seluruh ASEAN menyertai cabaran literasi kewangan berkonsepkan simulasi interaktif itu.

Permainan yang diperkenalkan oleh penulis kewangan terkenal, Robert Kiyosaki itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan gaji bulanan, perbelanjaan tidak dijangka serta peluang pelaburan dalam suasana yang menyerupai realiti kehidupan sebenar.

Program berkenaan dianjurkan bersama oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Perpustakaan Sultan Abdul Samad serta Majlis Keusahawanan Universiti-universiti Malaysia dengan matlamat melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, malah celik kewangan dan berdaya saing di peringkat global.

Pengarah CEM, Prof Madya Dr Hizmawati Madzin berkata, program tersebut menjadi platform strategik untuk memupuk literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa.

- Advertisement / Iklan -

Permainan papan CASHFLOW 101 diperkenalkan oleh penulis kewangan terkenal, Robert Kiyosaki.
Permainan papan CASHFLOW 101 diperkenalkan oleh penulis kewangan terkenal, Robert Kiyosaki.

“Menerusi pendekatan simulasi interaktif seperti CASHFLOW 101, pelajar memperoleh pemahaman praktikal mengenai pengurusan aliran tunai, penilaian risiko dan pembinaan aset melangkaui teori bilik kuliah,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau menambah, kerjasama rentas institusi ASEAN turut membuka ruang jaringan antarabangsa dalam kalangan mahasiswa, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan serantau.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan kesedaran bahawa literasi kewangan perlu diterjemahkan dalam konteks sebenar.

Menurutnya, walaupun pelajar menamatkan pengajian dengan kelayakan akademik, masih ramai kurang memahami isu seperti inflasi, struktur hutang dan kelestarian kewangan jangka panjang.

“Program seperti ini membantu merapatkan jurang antara teori dan realiti kewangan sebenar,” katanya.

Dalam kalangan peserta, Vishnu, 22, pelajar Universiti Sains Malaysia berkata permainan itu membuka pemahamannya terhadap konsep dividen dan pengurusan aliran tunai.

“Ini kali pertama kami bermain permainan ini dan kami belajar cara menjual, memperoleh dividen serta memahami aliran tunai dengan lebih jelas,” katanya.

Bagi Chloe Wong Ch’ng Yin, 20, dari Universiti Malaya, pengalaman itu memberi kesedaran tentang kepentingan mengawal kewangan sendiri.

“Kita yang harus kawal wang, bukan biarkan wang kawal kita,” katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Rafiq Fikri Rosnizam, 24, dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah berkata, permainan itu membantu peserta menilai keputusan pelaburan secara lebih kritikal.

“Permainan ini melibatkan saham dan pelaburan dalam syarikat, sekali gus membantu kami menilai sama ada sesuatu keputusan kewangan itu berbaloi atau tidak,” katanya.

Program itu dilihat sebagai antara pendekatan inovatif dalam memperkukuh budaya celik kewangan dalam kalangan mahasiswa serantau.