Model F.I.R.E. UMK-UPM raih pengiktirafan UNESCO
MODEL kolaboratif Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengharumkan nama Malaysia apabila menerima Anugerah Star of Outstanding bagi kategori World Heritage Education Towards the Future – Innovation of and for Young People sempena Persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO Ke-48 (WHC48) di Busan, Republik Korea, pada Khamis.
Pengiktirafan tertinggi itu diberikan dalam program anjuran World Heritage Institute of Training and Research for the Asia and the Pacific Region (WHITR-AP) di bawah naungan UNESCO yang berlangsung di Busan Exhibition and Convention Center (BEXCO) dari 19 hingga 29 Julai 2026.

Pengarah Urusan Bersama MyRimba Sdn. Bhd., Dr. Norfaryanti Kamaruddin berkata, kejayaan itu diraih menerusi syarikat pemula UPM berkenaan yang membangunkan Model Field • Indigenous • Research • Expression (F.I.R.E.) hasil kolaborasi bersama UMK Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (UMK-TRaCe).
Menurut beliau, pengiktirafan itu merupakan penghormatan kepada semua rakan strategik yang bersama-sama membangunkan Model F.I.R.E. dan Program Kem Rimba Rimbun sebagai platform pendidikan berasaskan pengalaman.
Katanya, model tersebut menggabungkan pendekatan Living Laboratory, penyelidikan lapangan, pengetahuan masyarakat tempatan, penceritaan kreatif, pendidikan warisan serta pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) bagi menghubungkan alam semula jadi, warisan dan budaya dalam satu kerangka pendidikan yang holistik.
"Kejayaan ini membuktikan kolaborasi rentas institusi mampu menghasilkan pendekatan pendidikan yang menghubungkan alam semula jadi, warisan budaya, penyelidikan saintifik dan penglibatan komuniti, sekali gus menyumbang kepada agenda pendidikan warisan UNESCO di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, MyRimba Sdn. Bhd., sebuah syarikat di bawah Putra Science Park, UPM, turut membangunkan siri animasi edutainment Skuad Rimba yang menggabungkan penceritaan kreatif dengan pendidikan alam sekitar bagi memupuk kesedaran generasi muda terhadap biodiversiti dan warisan semula jadi.

Selain itu, Program Kem Rimba Rimbun dijadikan platform utama pelaksanaan Model F.I.R.E. menerusi pengalaman pembelajaran secara langsung yang membawa peserta mendekati ekosistem hutan hujan tropika, memahami biodiversiti, menghargai budaya dan warisan setempat serta menghayati kepentingan pemuliharaan melalui penyelidikan lapangan, interaksi bersama komuniti dan aktiviti kreatif.
Sementara itu, Pengarah UMK-TRaCe, Dr. Muhammad Firdaus Abdul Karim, berkata pengiktirafan berkenaan merupakan satu penghormatan kepada UMK sebagai rakan kolaborasi utama dalam pembangunan Model F.I.R.E. dan Kem Rimba Rimbun Edisi Khas Belum-Temengor, yang mendapat sokongan Pulau Banding Foundation, Rimbun Foundation dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut beliau, anugerah tersebut mengiktiraf pendekatan pendidikan yang melihat hutan dan landskap bukan sahaja sebagai warisan semula jadi, malah berkait rapat dengan budaya, pengetahuan tradisional dan identiti komuniti.
Katanya, Anugerah Star of Outstanding merupakan pengiktirafan tertinggi kepada model pendidikan warisan yang menunjukkan kecemerlangan dari aspek inovasi, impak, kerjasama serta sumbangan terhadap pembangunan pendidikan warisan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kejayaan itu turut membuktikan keupayaan institusi pengajian tinggi, organisasi pemuliharaan, agensi kerajaan dan rakan industri negara membangunkan pendekatan pendidikan yang mengintegrasikan pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar, warisan budaya, penyelidikan saintifik dan pemerkasaan belia selaras dengan aspirasi UNESCO terhadap pembangunan mampan.
Tambahnya, di Malaysia, Program UNESCO World Heritage Volunteers (WHV) diselaraskan oleh UMK-TRaCe dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Warisan Negara (JWN).
Melalui kerjasama itu, Kem Rimba Rimbun (Edisi Khas) Belum-Temengor dilaksanakan dan menjadi asas kepada pembangunan Model Kolaboratif F.I.R.E., sekali gus memperkukuh pendidikan warisan, pemuliharaan biodiversiti dan penglibatan belia di Landskap Hutan Hujan Diraja Belum-Temengor.
