Di hujung jari kita tersembunyi dunia yang tidak pernah tidur. Di malam minggu asrama yang sunyi, cahaya skrin telefon menjadi satu satunya teman.

Pada mulanya, hanya menonton video hiburan. Tanpa disedari, tersasar ke kandungan yang tidak sepatutnya ditonton.

Kehidupan pelajar asrama sering dianggap lebih terkawal kerana mereka berada di bawah pemantauan warden.

Tapi hakikatnya, apabila waktu lampu mati pada pukul 11 malam, suasana kamar menjadi gelap dan sunyi.

- Advertisement / Iklan -

Dalam pada itu, telefon pintar di tangan pelajar mampu membawa mereka ke dunia maya dan secara tidak langsung membuka akses kepada dunia tanpa batas.

Dengan hanya satu pautan yang dikongsi oleh rakan atau satu carian kata kunci di internet, kandungan eksplisit boleh diakses secara rahsia tanpa pengetahuan sesiapa. Hal ini bukan lagi perkara kecil.

- Advertisement / Iklan -

Akan tetapi, hal ini semakin membimbangkan apabila ia berlaku pada usia yang masih dalam peringkat perkembangan mental dan emosi.

Dalam kalangan pelajar asrama, pengaruh rakan sebaya menjadi salah satu faktor. Semuanya bermula dari perasaan ingin tahu kemudian bertukar menjadi satu tabiat yang sukar dikawal jika tidak dicegah dari awal.

Namun, keadaan ini menjadi lebih sukar apabila penggunaan telefon pintar di asrama kadangkala berlaku tanpa pemantauan ketat, terutama pada waktu malam.

Hal ini mengakibatkan, terdedahnya kandungan eksplisit terhadap pelajar bukan sahaja menjejaskan akhlak, malah memberi kesan pada emosi dan prestasi akademik. Ada pelajar yang mula tidur lewat malam kerana terlalu lama melayari internet.

Ada juga yang hilang fokus di dalam kelas, mudah marah dan lebih suka menyendiri. Kandungan eksplisit yang ditonton secara berterusan boleh mengubah gambaran terhadap cinta dan hubungan sehingga mempengaruhi cara mereka melihat orang lain.

Dalam sesetengah kes, terdapat juga pelajar yang menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual akibat penyebaran gambar atau video kandungan eksplisit melalui telefon.

Penyalahgunaan teknologi ini sering berlaku seiring dengan akses mudah kepada kandungan eksplisit di internet, yang kemudian disebarkan semula melalui media sosial atau aplikasi pesanan segera tanpa kebenaran mangsa.

Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan emosi, hilang keyakinan diri dan takut untuk bergaul dengan orang lain.

Sebagai contoh, terdapat kes pada tahun 2025 apabila insiden tular di sebuah sekolah di Petaling Jaya melibatkan penyebaran gambar dan video berkaitan kejadian di sekolah tersebut melalui media sosial.

Penyebaran kandungan tersebut telah mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan bahan berkenaan bagi melindungi privasi mangsa serta mengelakkan kesan trauma kepada pelajar yang terlibat.

Keadaan ini menunjukkan bahawa kandungan eksplisit bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang menonton, tetapi juga boleh mencetuskan masalah sosial yang lebih besar dalam kalangan pelajar asrama, termasuk buli siber, gangguan seksual dan tekanan mental.

Lebih membimbangkan, hal ini turut berkait rapat dengan undang undang negara. Di Malaysia, penyebaran atau perkongsian kandungan lucah melalui internet boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen ini adalah untuk kesalahan terhadap penggunaan tidak betul untuk kemudahan rangkaian atau perkhidmatan internet bagi menyebarkan kandungan lucah, palsu atau mengancam.

Menurut kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Dewan Negara pada tahun 2026, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memohon penurunan sebanyak 6,481 kandungan berunsur lucah sejak tahun 2022 hingga 2026.

Daripada jumlah tersebut, 80 peratus atau 5,203 kandungan berjaya diturunkan oleh penyedia platform digital.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 4,380 laman web berunsur pornografi turut disekat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membendung penyebaran kandungan eksplisit di internet.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada tindakan lebih besar yang menyaksikan sebanyak 10,423 laman web berbahaya termasuk kandungan lucah, scam, judi dan eksploitasi seksual telah disekat dalam tempoh sama.

Walaupun ribuan laman telah disekat, akses terhadap kandungan tersebut masih boleh berlaku melalui platform media sosial, aplikasi mesej segera dan penggunaan Virtual Private Network (VPN).

Bagi pelajar asrama, kesedaran tentang undang-undang ini amat penting. Ramai pelajar menganggap berkongsi video atau gambar lucah dalam grup WhatsApp atau Telegram hanyalah gurauan sesama rakan.

Hakikatnya, tindakan tersebut boleh membawa kesan undang-undang yang serius.

Apa yang dianggap 'sekadar suka-suka' sebenarnya boleh menjadi satu kesalahan jenayah.

Namun, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi.

Pendidikan digital dan bimbingan moral perlu diterapkan secara berterusan dalam kalangan pelajar. Guru, warden dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar memahami risiko sebenar di sebalik skrin telefon mereka.

Menurut laporan Digital 2024 Malaysia oleh Data Reportal, rakyat Malaysia menghabiskan purata lebih 8 jam sehari menggunakan internet.

Tempoh penggunaan yang terlalu lama ini meningkatkan risiko pelajar terdedah kepada kandungan negatif, terutama apabila penggunaan internet berlaku tanpa pemantauan.

Bagi pelajar asrama, waktu malam selepas prep atau selepas warden membuat rondaan sering menjadi waktu utama penggunaan telefon secara berlebihan.

Tambahan pula, sikap suka berahsia dalam kalangan pelajar hari ini menyebabkan ramai pelajar tidak mahu ditegur mengenai penggunaan telefon mereka.

Ada yang menggunakan akaun media sosial kedua atau aplikasi tersembunyi untuk mengakses kandungan eksplisit secara rahsia.

Perkara ini menyukarkan pihak sekolah dan ibu bapa untuk memantau aktiviti digital mereka sepenuhnya.

Disebabkan itu, pendidikan mengenai etika penggunaan internet perlu diperkasakan di sekolah berasrama.

Pelajar perlu diberi kesedaran bahawa internet bukan sekadar tempat hiburan, tetapi ruang yang mempunyai risiko besar jika disalahgunakan.

Program kesedaran digital, ceramah keselamatan siber dan pendekatan kaunseling perlu dilakukan secara konsisten agar pelajar lebih memahami kesan kandungan eksplisit terhadap kesihatan mental, hubungan sosial dan masa depan mereka.

Dalam masa yang sama, ibu bapa tidak boleh menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah. Walaupun anak tinggal di asrama, komunikasi dan pemantauan daripada keluarga masih sangat penting.

Ibu bapa perlu sentiasa bertanya tentang kehidupan harian anak-anak, keadaan emosi mereka dan bagaimana mereka menggunakan internet ketika berada di asrama.

Hakikatnya, cabaran pelajar asrama hari ini bukan lagi sekadar tekanan akademik atau disiplin sekolah, tetapi juga ancaman dunia digital yang semakin sukar dikawal.

Akses internet yang terlalu mudah tanpa kawalan boleh membuka pintu kepada pelbagai pengaruh negatif termasuk kandungan eksplisit.

Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama memastikan teknologi digunakan sebagai alat pendidikan dan pembangunan diri, bukannya menjadi punca kerosakan masa depan generasi muda.

* Nurfathirah hani Halim ialah Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran, UiTM