Lahirkan graduan kompeten, penuhi keperluan industri
SAMBUTAN luar biasa terhadap Program Aircraft Maintenance Technology (AMT) di ADTEC JTM Kampus Shah Alam mencerminkan peningkatan keyakinan lepasan sekolah terhadap laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program tersebut menerima sebanyak 875 permohonan, namun hanya 55 calon berjaya ditawarkan tempat bagi sesi pengambilan Julai 2026.
Momentum positif itu turut diterjemahkan menerusi kadar pendaftaran keseluruhan pelajar baharu yang mencecah 97 peratus sekali gus mengukuhkan kedudukan ADTEC JTM Kampus Shah Alam sebagai antara institusi TVET pilihan dalam melahirkan tenaga mahir berkemahiran tinggi.

Pengarahnya, Ts. Zuraini Muda berkata, sehingga 10 Julai lalu, seramai 248 daripada 250 pelajar yang ditawarkan telah melapor diri, manakala selebihnya dijangka mendaftar diri selewat-lewatnya 30 Julai ini selepas memaklumkan kelewatan kepada pihak kampus.
"Secara terperinci, seramai 23 daripada 25 pelajar mendaftar dalam Program Teknologi Mekatronik, 25 daripada 26 pelajar bagi Program Teknologi Penyejukan & Penyamanan Udara, 53 daripada 55 pelajar bagi Program Teknologi Aircraft Maintenance Technology, 26 daripada 28 pelajar bagi Program Teknologi Elektrik Kuasa.
"Selebihnya mencatatkan pendaftaran penuh apabila kesemua 21 daripada 21 pelajar bagi Program Teknologi Pembuatan, 25 daripada 25 pelajar bagi Program Teknologi Automotif Pengeluaran, 25 daripada 25 pelajar bagi Program Teknologi Kimpalan, 30 daripada 30 pelajar bagi Program Teknologi Jaminan kualiti, manakala Program Teknologi Aircraft Sheet Metal 20 pelajar yang ditawarkan melapor diri," katanya.
Menurut beliau, daripada 875 permohonan yang diterima bagi program AMT, hanya 400 calon layak menduduki peperiksaan teori dan menghadiri sesi temu duga sebelum 55 orang dipilih mengikuti pengajian.
"Persaingan yang tinggi ini membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kualiti latihan yang ditawarkan ADTEC Shah Alam, khususnya dalam bidang penyelenggaraan kapal terbang yang sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada industri," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Minggu Suai Kenal (MSK) Sesi 2/2026 ADTEC JTM Kampus Shah Alam.

Beliau turut menambah, secara keseluruhannya terdapat 33 Kampus di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan 31 kampus ADTEC JTM di seluruh Malaysia, satu kampus Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTi) di Pulau Pinang dan satu kampus Proton Institut di Alor Gajah, Melaka dengan kapasiti latihan di semua ADTEC JTM sebanyak 22,000 orang pelajar dan kapasiti pengambilan sebanyak 9,000 orang pelajar pada setiap tahun.
9 program latihan berteraskan teknologi dan industri
Zuraini berkata, ADTEC JTM Kampus Shah Alam menawarkan sembilan program latihan berteraskan teknologi dan industri yang sentiasa dikemas kini selaras dengan perkembangan semasa, termasuk automasi, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), robotik dan teknologi hijau.
Katanya, kelebihan institusi itu bukan sekadar menawarkan program diploma, malah turut memberikan nilai tambah kepada pelajar melalui pensijilan profesional yang diiktiraf industri.
"Program Aircraft Maintenance Technology (AMT) dipadankan dengan pensijilan Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), Teknologi Elektrik dengan pensijilan Suruhanjaya Tenaga (ST), Penyejukan dan Penyamanan Udara dengan pensijilan Jabatan Alam Sekitar (JAS), manakala bidang Jaminan Kualiti memperoleh pensijilan profesional daripada SIRIM.
"Pendekatan ini menjadikan graduan kami lebih kompetitif kerana mereka bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah turut mempunyai pensijilan profesional yang menjadi nilai tambah apabila memasuki alam pekerjaan," katanya.
Beliau berkata, ADTEC JTM Kampus Shah Alam turut memperkukuhkan pembelajaran berasaskan industri menerusi Akademi DAIKIN dan Akademi TAMCO, yang membolehkan pelajar menjalani latihan menggunakan teknologi, peralatan serta amalan sebenar industri.

Usaha itu, katanya, menyumbang kepada pencapaian 97.2 peratus kadar kebolehpasaran graduan ADTEC JTM Kampus Shah Alam pada tahun 2025, sekali gus membuktikan graduan institusi berkenaan terus mendapat kepercayaan majikan.
Menurut beliau, hubungan strategik dengan rakan industri seperti Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MAB Engineering Services), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Galaxy Aerospace, Daikin Malaysia, TAMCO Switchgear, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan SIRIM Berhad memastikan kurikulum yang ditawarkan sentiasa memenuhi keperluan semasa industri.
ADTEC JTM Shah Alam membudayakan falsafah 'ASKAR'
Dalam pada itu, Zuraini berkata, pelajar baharu perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan memandangkan kerajaan kini meletakkan TVET sebagai antara agenda nasional utama menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi, pendigitalan, automasi dan ekonomi hijau.
Beliau berkata, selain kemahiran teknikal, kejayaan seseorang graduan turut bergantung pada pembentukan sahsiah, disiplin serta daya tahan yang tinggi.
"Di ADTEC JTM Kampus Shah Alam, kami membudayakan falsafah 'ASKAR' yang membawa maksud Attitude, Skills, Knowledge, Agile dan Resilience bagi membentuk graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi kemahiran, malah memiliki nilai profesional, mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta cekal menghadapi cabaran.
"Industri hari ini bukan sekadar mencari individu yang memiliki sijil, tetapi mereka yang benar-benar mampu melaksanakan tugas mengikut standard profesional," katanya.

Beliau berkata, pendekatan Competency Based Training (CBT) yang diamalkan di ADTEC JTM Kampus Shah Alam memberi penekanan kepada penguasaan ilmu, kemahiran dan sikap profesional bagi memastikan setiap graduan benar-benar kompeten mengikut standard industri.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pelajar baharu menjadikan sasaran Graduate On Time (GOT) sebagai matlamat utama sepanjang pengajian agar dapat menamatkan pengajian mengikut tempoh, memperoleh pekerjaan berkualiti serta menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.
"Pelaburan kerajaan dalam TVET merupakan pelaburan terhadap masa depan negara. Setiap pelajar yang melangkah masuk ke ADTEC Shah Alam hari ini ialah bakal tenaga mahir yang akan menjadi pemacu pembangunan ekonomi Malaysia pada masa hadapan," katanya.
