Mahasiswa Al-Azhar bawa mesej solidariti Palestin di Istanbul
JAUH dari bumi Palestin, namun hati mereka tetap terpaut kepada perjuangan kemanusiaan. Itulah yang dizahirkan sekumpulan mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir menerusi penganjuran Brisk Walk for Palestine di Belgrad Ormanı, Istanbul sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus berdepan konflik dan krisis kemanusiaan.
Program itu menghimpunkan 15 peserta antarabangsa yang terdiri daripada sembilan mahasiswa Malaysia, dua peserta dari Turkiye, dua dari Nigeria dan dua lagi dari Indonesia. Penyertaan pelbagai negara itu mencerminkan semangat perpaduan belia Islam dalam menyuarakan sokongan terhadap isu kemanusiaan merentas sempadan.
Salah seorang penggerak program, Nur Anis Syamila Salleh, berkata program berkenaan bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjadi platform untuk menunjukkan bahawa golongan muda mampu memainkan peranan dalam menyebarkan kesedaran mengenai nasib rakyat Palestin.
"Sebagai mahasiswa Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar, kami percaya ilmu perlu diterjemahkan melalui tindakan. Walaupun hanya berjalan bersama-sama, setiap langkah yang kami ambil menjadi lambang bahawa Palestin sentiasa berada dalam doa dan ingatan kami," katanya.
Menurut beliau, program tersebut turut mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peserta yang datang daripada latar belakang dan negara berbeza, namun berkongsi matlamat yang sama iaitu menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
"Selain aktiviti brisk walk, peserta turut menjalankan social experiment bersama masyarakat tempatan di Istanbul bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai isu Palestin.
"Dengan bantuan dua peserta warga Turkiye sebagai penterjemah, mereka menemu bual orang awam mengenai beberapa isu termasuk keberkesanan kempen boikot, tahap perhatian masyarakat dunia terhadap Palestin berbanding isu global lain serta peranan yang boleh dimainkan oleh golongan belia dalam membantu rakyat Palestin," katanya.
Nur Anis berkata, pengalaman tersebut membuka mata peserta bahawa setiap individu mampu menyumbang kepada perjuangan kemanusiaan, sama ada melalui doa, penyebaran maklumat, kempen kesedaran, boikot mahupun penglibatan dalam program berbentuk advokasi.
Beliau berkata, program itu turut mengingatkan peserta kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 72 yang menyeru umat Islam agar saling membantu dalam urusan agama dan kemanusiaan.
"Kami pulang dengan hati yang bercampur-baur. Gembira kerana dapat bersama-sama menyampaikan mesej solidariti, namun pada masa yang sama amat tersentuh apabila mengenangkan saudara-saudara kita di Palestin yang masih berdepan peperangan, kehilangan insan tersayang dan kehidupan yang serba kekurangan," katanya.
Program tersebut mendapat bimbingan Youth of Strength & Happiness (YOSH) dengan sokongan MyFundAction, yang aktif melaksanakan program pembangunan belia, dakwah dan misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Melalui pendekatan yang dibawa kedua-dua organisasi itu, peserta dididik menjadi generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kepekaan terhadap isu kemanusiaan serta mampu menyumbang kepada masyarakat sejagat.
Penyertaan mahasiswa Malaysia dalam program seperti ini turut mencerminkan peranan mereka sebagai duta kecil negara di luar negara yang membawa nilai keamanan, perpaduan dan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan sejagat.
Penganjur berharap lebih ramai belia dari pelbagai negara akan menyertai program seumpama ini pada masa hadapan kerana percaya bahawa tindakan kecil yang dilakukan secara bersama mampu membawa mesej besar bahawa dunia tidak pernah melupakan Palestin.
