Dua penyelidik UMT terima geran lebih RM3 juta untuk pemulihan bakau
DUA penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya memperoleh geran penyelidikan antarabangsa bernilai RM3.9 juta bagi projek pemulihan ekosistem bakau di Malaysia.
Menerusi kenyataan pada Ahad, UMT memaklumkan dua penyelidik itu ialah Prof Madya Dr Behara Satyanarayana daripada Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) serta Dr Giovanna Wolswijk daripada Fakulti Sains dan Sekitaran Marin.
Giovanna menerusi kenyataan itu berkata, geran berkenaan bagi pelaksanaan projek penyelidikan bertajuk REVIVE: Just Restoration and Equitable Value Chains for Inclusive, Viable Mangrove Ecosystems: The Case of Malaysia selama tiga tahun bermula bulan ini hingga Jun 2029.
"Projek ini dibiayai oleh Global Centre on Biodiversity for Climate di bawah Department for Environment, Food and Rural Affairs (DEFRA), United Kingdom (UK). DEFRA ialah jabatan di kementerian UK yang bertanggungjawab terhadap dasar dan program berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim, biodiversiti serta pemuliharaan alam semula jadi, pertanian dan keselamatan makanan, Perikanan, Kebajikan haiwan, dan Pengurusan sumber air serta sisa.
"Penyelidikan memfokuskan kepada kawasan bakau utama negara iaitu Hutan Simpan Paya Bakau Matang, Perak; Sungai Acheh dan Sungai Chenaam, Pulau Pinang serta Setiu Wetland, Terengganu. Ia bagi membangunkan model pemulihan bakau yang bukan sahaja memulihkan ekosistem, malah meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti setempat," katanya.
Beliau berkata, hutan bakau bukan sekadar benteng melindungi pantai dan menyimpan karbon biru, malah menjadi sumber kehidupan ribuan komuniti pesisir.
Melalui projek itu, penyelidik akan memastikan usaha pemulihan memberi manfaat kepada alam sekitar dan pada masa sama, memperkasakan komuniti melalui peluang ekonomi lebih mampan serta rantaian nilai lebih adil.
"Penyelidikan akan merangkumi pemetaan karbon biru, penilaian kesihatan ekosistem, intervensi pemulihan habitat serta penyelesaian terhadap isu kemerosotan pokok bakau, pemendapan pasir serta kelestarian industri berasaskan bakau.
"Penglibatan komuniti sebagai rakan strategik dalam setiap fasa penyelidikan merupakan elemen penting bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat diteruskan untuk jangka panjang," katanya. - Bernama
