Dapur Komuniti UNISZA atasi lambakan hasil pertanian
DAPUR Komuniti yang ditubuhkan oleh Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) adalah antara inisiatif pusat pengajian tinggi berkenaan dalam membantu menyelesaikan masalah lambakan hasil pertanian, terutama di sekitar Besut.
Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA Prof Dr Hafizan Juahir berkata, inisiatif itu berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan bagi penghasilan pelbagai produk hiliran yang mampu memanjangkan jangka hayat hasil pertanian sehingga lebih setahun.
Beliau berkata, Dapur Komuniti yang diwujudkan seiring dengan penubuhan Ladang Komuniti Lestari di Kampus Besut di sini mampu memperkasakan ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti pertanian.
"Sebelum ini, pihak universiti mendapati petani di Besut berdepan masalah memasarkan hasil pertanian dan tekanan orang tengah yang menyebabkan harga hasil ladang jatuh, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
"Contohnya, harga keledek di peringkat ladang di Besut pernah jatuh kepada kurang RM2 sekilogram, sedangkan di pasaran di beberapa kawasan seperti Kuantan, Pahang dan bandar utama lain dijual pada harga lebih tinggi berikutan kekangan logistik serta sebahagian petani masih kurang terdedah kepada pemasaran digital, sekali gus mengakibatkan lambakan hasil yang akhirnya rosak dan menyebabkan kerugian kepada mereka," katanya kepada Bernama di UniSZA Kampus Besut.

Hafizan berkata, antara produk yang berjaya dibangunkan oleh Dapur Komuniti adalah kerepek ubi keledek, ubi keledek dan jagung siap makan yang diproses menggunakan teknologi sterilisasi haba dalam bungkusan kedap udara (retort) serta minyak cili.
Beliau berkata, pihaknya turut menghasilkan produk inovasi, iaitu jeruk buah Melon Manis Terengganu, yang dihasilkan daripada buah melon kurang berkualiti bagi mengurangkan pembaziran dan menjana pendapatan tambahan petani.
"Kami mengambil hasil pertanian yang tidak dapat dipasarkan dalam bentuk segar dan mengubahnya menjadi produk bernilai tambah dan ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, malah memberi pulangan ekonomi," katanya.
Hafizan berkata, masyarakat setempat khususnya petani turut dilatih secara langsung dalam bidang pemprosesan makanan dan penghasilan produk hiliran.
Beliau berkata, Dapur Komuniti yang ditubuhkan sejak 2023 itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden keseluruhan bernilai kira-kira RM350,000 seperti mesin retort, mesin pengedap bungkusan, penggoreng bertekanan tinggi, mesin aiskrim dan mesin penyahhidratan makanan.

Menurut Hafizan, kemudahan itu membolehkan pelbagai produk makanan diproses secara komersial selepas melalui penyelidikan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan penerimaan pasaran.
Dalam pada itu, pihak universiti kini dalam perbincangan dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi menjadikan fasiliti Dapur Komuniti sebagai pusat pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pemprosesan makanan.
"Sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, pelajar UniSZA berpeluang memperoleh ijazah sarjana muda bersama SKM sehingga Tahap 3, sekali gus melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik tetapi menguasai kemahiran industri yang diiktiraf.
"Inisiatif ini turut dibuka kepada komuniti setempat termasuk golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia supaya mereka memperoleh kemahiran yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan selepas bersara," katanya. - Bernama
