PERANAN universiti hari ini tidak lagi terhad kepada bilik kuliah dan dewan kuliah semata-mata sebaliknya, institusi pengajian tinggi kini menjadi jambatan yang menghubungkan ilmu, budaya dan tamadun merentas sempadan.

Selaras dengan peranan itu, Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengorak langkah di pentas antarabangsa apabila menyertai 2026 Conference on Exchanges and Mutual Learning of Rule of Law Civilizations di Beijing, China.

FUU UKM yang diwakili Dekannya, Profesor Dr Rasyikah Khalid, menerima jemputan daripada China University of Political Science and Law (CUPL) untuk menyampaikan ucaptama dalam persidangan yang menghimpunkan lebih 150 ahli akademik, hakim dan pakar perundangan dari 26 negara.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

Persidangan itu menjadi platform penting dalam memperkukuh dialog antara tamadun perundangan dunia, selain membuka ruang kepada perkongsian idea, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang undang-undang.

Lebih membanggakan, UKM turut menyertai China-ASEAN Education Alliance on Mutual Learning of Rule of Law Civilizations, sebuah jaringan kerjasama yang menghimpunkan institusi pendidikan tinggi terkemuka dari ASEAN dan China bagi memperkukuh pendidikan, penyelidikan serta pembangunan bakat dalam bidang perundangan.

- Advertisement / Iklan -

Rasyikah berkata, penyertaan UKM dalam pakatan tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap kepakaran fakulti di peringkat antarabangsa, selain membuka lebih banyak peluang strategik kepada warga akademik dan pelajar.

"Penyertaan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan UKM dengan institusi terkemuka di ASEAN dan China, malah membuka ruang kepada kolaborasi penyelidikan, pertukaran akademik serta peluang latihan industri dan kerjaya yang lebih luas untuk pelajar Fakulti Undang-Undang," katanya.

Menurut beliau, kerjasama rentas negara seperti itu penting dalam melahirkan graduan undang-undang yang mampu memahami sistem perundangan pelbagai negara dan bersedia menghadapi cabaran dunia global.

No Image Caption

Turut menyampaikan ucaptama ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, yang menekankan kepentingan pertukaran ilmu dan pembelajaran bersama antara sistem perundangan dalam membina persefahaman, meningkatkan kepercayaan serta menangani pelbagai isu rentas sempadan berasaskan kedaulatan undang-undang.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan China-ASEAN School, sebuah inisiatif yang menghubungkan fakulti undang-undang terbaik dari negara-negara ASEAN dan China.

Penubuhan institusi itu dijangka memperkukuh pertukaran akademik, penyelidikan dan amalan profesional, selain melahirkan graduan yang memiliki kefahaman terhadap pelbagai sistem perundangan serta berupaya menggalas peranan dalam kerjasama rentas sempadan.

Inisiatif berkenaan turut disokong melalui program pembangunan bakat dan latihan perundangan antarabangsa yang menghubungkan institusi pengajian tinggi, badan kehakiman serta organisasi profesional.

Penyertaan UKM dalam jaringan strategik ini sekali lagi membuktikan komitmen universiti tersebut untuk memperkukuh kecemerlangan akademik di peringkat global, di samping memastikan pelajarnya memperoleh pendedahan antarabangsa yang relevan dengan keperluan dunia profesional masa kini.