SERAMAI 1.18 juta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) warganegara Malaysia bakal menerima Baucar Buku MADANI bernilai RM100 di bawah Inisiatif Baucar Buku MADANI 2026 bagi membantu meringankan kos pembelian bahan bacaan serta memperluaskan akses kepada sumber ilmu berkualiti.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, pelajar yang memenuhi syarat kelayakan boleh mula menebus baucar berkenaan bermula 15 Julai menerusi portal MySiswaPlace, platform digital sehenti kendalian Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

"Menerusi portal itu, pelajar boleh membuat semakan kelayakan, menjana dan menebus baucar serta membeli pelbagai bahan bacaan secara dalam talian dengan mudah dan selamat.

"Inisiatif itu memberi manfaat kepada pelajar di Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara, " kata kenyataan itu.

- Advertisement / Iklan -

Menurut KPT, bagi memastikan mahasiswa mempunyai pilihan bahan bacaan yang lebih menyeluruh, platform MySiswaPlace menghimpunkan lebih 300 rakan niaga berdaftar terdiri daripada penerbit dan penjual buku tempatan yang menawarkan pelbagai kategori bahan bacaan termasuk buku akademik, buku rujukan, bahan ilmiah, e-buku serta penerbitan umum.

"Penerusan Inisiatif Baucar Buku MADANI mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat, selain membantu mahasiswa mendapatkan bahan bacaan sepanjang pengajian.

- Advertisement / Iklan -

"Pada masa sama, inisiatif itu dijangka merangsang pertumbuhan industri perbukuan negara, memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan serta menyokong kelestarian industri ilmu," menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, KPT menggesa semua pelajar yang layak agar menebus Baucar Buku MADANI dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan sebagai pelaburan terbaik dalam membina ilmu, kemahiran dan masa depan.