Kerjasama industri buka lebih banyak peluang graduan TVET
KERAJAAN memberi jaminan kebolehpasaran graduan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berada pada tahap tinggi menerusi kerjasama strategik bersama industri yang membolehkan mereka menerima tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu dilaksanakan melalui rundingan awal antara institusi TVET dengan syarikat serta pemain industri bagi memastikan kursus ditawarkan selari dengan keperluan pasaran pekerjaan.
"Apa yang kami lakukan ialah mengadakan rundingan terlebih dahulu dengan pihak syarikat dan industri bagi memastikan kursus dijalankan oleh institusi TVET bersesuaian dengan bidang pekerjaan serta keperluan industri berkenaan.
"Oleh sebab itu, kebolehpasaran graduan adalah 100 peratus kerana sebelum tamat kursus, tawaran pekerjaan telah dikemukakan. Ertinya, tidak timbul masalah ketidakpadanan kursus, isu gaji minimum atau masalah tiada tawaran pekerjaan," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat bersama kontinjen TVET@KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) ke Worldskills Shanghai 2026 pada Isnin yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan kursus berasaskan TVET berimpak tinggi bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang memenuhi kehendak industri.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa Kontinjen TVET@KKDW berpotensi melakar sejarah dengan mencipta kejayaan pada pertandingan WorldSkills Shanghai 2026.
"Kita mahu peserta menerapkan kecekalan minda dan ketahanan emosi yang tinggi untuk membuktikan bahawa kehebatan peserta Malaysia lebih menyerlah di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau turut mengingatkan peserta untuk terus memperkukuh kemahiran, meningkatkan disiplin serta mengekalkan fokus sepanjang tempoh persediaan berbaki dua bulan sebelum pertandingan yang akan berlangsung pada 22 hingga 27 Sept di Shanghai, China.
Kontinjen TVET@KKDW diwakili sembilan peserta melibatkan TVET MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan GIATMARA yang akan bertanding dalam sembilan bidang kemahiran antaranya Teknologi Fesyen, Keselamatan Siber dan Elektronik. - Bernama
