UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) dipilih sebagai institusi tuan rumah Malaysia bagi Akademi Digital Korea-ASEAN (KADA), sebuah inisiatif kerjasama Malaysia dan Korea Selatan yang menyasarkan pembangunan bakat dalam kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital.

Pemilihan UiTM menerusi Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dibuat selepas melalui proses penilaian melibatkan beberapa institusi teknologi digital utama di negara ini, sekali gus mengiktiraf keupayaan universiti itu dalam melahirkan bakat digital berdaya saing.

Program yang diselaraskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu akan dilaksanakan menerusi empat kohort sepanjang 2026 hingga 2027 dengan sasaran melahirkan kira-kira 200 profesional AI dan digital di Malaysia.

Peserta akan mengikuti latihan khusus dalam AI dan teknologi digital baharu, selain didedahkan kepada kemahiran praktikal, perspektif global serta kompetensi industri bagi memenuhi keperluan ekonomi digital yang semakin berkembang.

- Advertisement / Iklan -

Menurut MDEC dalam kenyataannya, selain memperkukuh pembangunan bakat, KADA turut mengeratkan kerjasama antara Malaysia, Korea Selatan dan negara anggota ASEAN melalui perkongsian pengetahuan serta pembangunan keupayaan AI di rantau ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, bersama Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae; Naib Presiden Eksekutif National IT Industry Promotion Agency (NIPA), Kim Deuk-jung; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, Profesor Dr. Yamin Yasin; serta Dekan FSKM UiTM, Profesor Madya Dr. Norjansalika Janom.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Malaysia dipilih sebagai antara negara peserta KADA selepas program itu diluluskan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Ke-6 pada Januari lalu, sekali gus mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap ekosistem digital negara dan komitmen Malaysia dalam memperkasa bakat AI masa depan.