UiTM cipta sejarah angkasa
UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mencipta sejarah melaksanakan misi nanosatelit UiTMSAT-2, satelit kolaborasi pertama ASEAN yang dibangunkan di bawah projek ASEANSAT, sekali gus mengukuhkan kedudukan universiti itu sebagai peneraju teknologi angkasa di rantau Asia Tenggara.
UiTMSAT-2 merupakan satelit CubeSat 1U seberat kira-kira 1.1 kilogram dengan dimensi 10 × 10 × 11.35 sentimeter yang beroperasi di Low Earth Orbit (LEO) pada ketinggian 380–400 kilometer telah berjaya dilepaskan ke orbit dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 6.52 petang waktu Malaysia, pada Selasa (3 Februari 2026).
Ketua projek, Dr Fatimah Zaharah Ali berkata, CubeSat 1U dilepaskan melalui modul Japanese Experiment Module (JEM) menggunakan mekanisme JEM Small Satellite Orbital Deployer (J-SSOD).

Menurutnya yang juga Pensyarah Fakulti Kejuteraan Elektrik (FKE) UiTM berkata, projek UiTMSAT-2 membawa misi utama kamera pemerhatian bumi serta misi sekunder internet benda berasaskan angkasa Space-based Internet of Things (S-IoT).
"Ia bertujuan untuk penghantaran data penderia dari kawasan terpencil yang tidak mempunyai rangkaian sambungan darat (bumi) dan menggunakan jalur frekuensi VHF-UHF radio amatur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tontonan Secara Langsung Pelepasan UiTMSAT-2 yang dipancarkan dari Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM, baru-baru ini.
Sebelum ini, pada 26 Oktokber 2025, UiTM telah berjaya melancarkan UiTMSAT-2 ke ISS menerusi misi HTV-X1 menggunakan roket H3 F7 oleh JAXA dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Jepun tepat 8 pagi waktu Malaysia (9 pagi waktu Jepun) dan berlabuh di ISS pada 30 Oktober 2025.
Fatimah Zaharah berkata, projek satelit kecil itu akan beroperasi di kedudukan orbit rendah bumi pada ketinggian 380 hingga 400 kilometer dari bumi dan mengelilingi bumi sebanyak 16 kali dalam tempoh 24 jam dengan satu putaran mengambil masa 90 minit dan akan melintasi Malaysia sebanyak 4 kali.
Menurutnya, pembangunan UiTMSAT-2 sejak Februari 2021 dengan pembentukan model kejuruteraan di FKE UiTM melibatkan proses perolehan komponen, reka bentuk papan litar, integrasi subsistem dan pengujian fungsi.

Katanya lagi, ujian getaran dan keserasian elektromagnet (EMC) telah dilaksanakan di fasiliti utama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di Banting, Selangor, manakala, pembangunan Flight Model (FM) diteruskan di Institut Teknologi Kyushu (Kyutech), Jepun pada 2024 hingga 2025, termasuk integrasi panel solar serta ujian persekitaran angkasa seperti Thermal Vacuum Test, Antenna Deployment Test, Communication Test, dan Fit Check Test.
Projek UiTMSAT-2 diterajui oleh UiTM sebagai institusi utama dengan kolaborasi strategik bersama University of Perpetual Help System DALTA (Filipina), King Mongkut's University of Technology North Bangkok (Thailand) serta Kyutech sebagai penyokong teknikal.
Pembiayaan projek disumbang oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Dana International Collaboration Fund (ICF) sebanyak RM500,000 dan UiTM melalui Dana Perkongsian Penyelidikan Strategik (SRP) serta sumbangan kewangan rakan kolaborasi antarabangsa.
Kemudahan pembangunan satelit UiTM melibatkan Makmal Integrasi Satelit di FKE serta stesen bumi di Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di universiti itu yang dilengkapi antena Yagi VHF/UHF, sistem rotator serta lesen operator amatur yang diperbaharui secara berkala.
Fasiliti ini membolehkan pemantauan orbit, komunikasi satelit serta latihan operasi sebenar kepada pelajar dan penyelidik.
Sementara itu, Shahrin dalam ucapan perasmian berkata, pelepasan satelit nano itu membuktikan Malaysia khususnya UiTM, mampu dan bersedia bagi memainkan peranan yang lebih besar dalam landskap teknologi masa hadapan.

"UiTMSAT-2 turut mencerminkan kerjasama universiti-industri yang bermakna dengan penyelidikan akademik diterjemahkan kepada aplikasi teknologi sebenar.
"UiTMSAT-2 bukan sekadar sebuah satelit nano. Ia adalah simbol keupayaan kepakaran tempatan, manifestasi keyakinan terhadap bakat anak Malaysia dan bukti bahawa universiti awam mampu menjadi pemacu teknologi strategik negara," katanya.

Selain impak teknologi, UiTMSAT-2 turut memberi kesan signifikan kepada pembangunan dasar dan kapasiti nasional, antaranya penyertaan UiTM sebagai konsultan akademik dalam Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030), pelantikan sebagai Malaysia Point of Contact (POC) UNISEC-Global, peneraju Malaysia Space University Consortium (MySpaceU) serta penglibatan dalam program Space STEM Outreach bagi memperluas literasi teknologi angkasa di peringkat sekolah dan komuniti.
