Kedudukan ranking bukan penamat, tetapi pemangkin keunggulan universiti
Dalam landskap pendidikan tinggi global yang semakin kompetitif, kedudukan universiti dalam pelbagai sistem ranking antarabangsa sentiasa menjadi perhatian masyarakat.
Kedudukan ini sering dijadikan ukuran terhadap reputasi, kualiti dan daya saing sesebuah institusi.
Namun demikian, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana masyarakat memahami realiti di sebalik angka dan kedudukan tersebut.
Podcast bertajuk University Ranking: Reality and Perception yang menampilkan sesi temu bual antara pelajar dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membuka ruang perbincangan yang matang mengenai kedudukan universiti dalam ranking antarabangsa.
Perbincangan tersebut bukan sekadar menjelaskan metodologi penarafan, malah mengajak seluruh warga universiti melihat isu ini secara lebih objektif dan strategik.
Hakikatnya, perubahan kedudukan sesebuah universiti bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Sistem ranking dunia QS misalnya sentiasa berkembang dan mengambil kira pelbagai indikator seperti reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi penyelidikan, jaringan antarabangsa, nisbah pensyarah dan pelajar, kelestarian serta impak global.
Dalam konteks UUM, perubahan kedudukan dalam ranking perlu dilihat sebagai satu peluang untuk melakukan refleksi dan penambahbaikan secara berterusan.
Ia bukanlah satu kegagalan, sebaliknya suatu isyarat bahawa usaha memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan perlu terus diperkasakan.
Walaupun UUM kini berada pada kedudukan sekitar 540 dunia, pencapaian ini sebenarnya masih meletakkan universiti dalam kelompok institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Kedudukan tersebut berada dalam lingkungan beberapa universiti terkemuka dunia yang mempunyai reputasi tersendiri dalam bidang masing-masing.
Sebagai contoh, beberapa universiti yang berada dalam kelompok kedudukan yang sama ialah Colorado State University, US, Iowa State University, US, dan Universitat Leipzig, German.
Hakikat ini menunjukkan bahawa UUM masih bersaing dalam ekosistem pendidikan tinggi global yang amat mencabar dan kompetitif.
Perbandingan ini bukan bertujuan untuk menyamakan sepenuhnya kekuatan dan sejarah setiap universiti, tetapi untuk memberikan perspektif bahawa kedudukan sekitar 540 dunia sebenarnya masih berada dalam kelompok universiti yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka negara, UUM telah membina pelbagai pencapaian yang membanggakan dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan, pengantarabangsaan, jaringan industri dan pembangunan graduan.
Kekuatan-kekuatan ini tidak hilang hanya kerana perubahan kedudukan dalam sesuatu sistem ranking.
Sebaliknya, keadaan semasa perlu dijadikan asbab untuk seluruh warga universiti memperkukuh usaha dan komitmen masing-masing. Setiap pensyarah, penyelidik, staf pentadbiran, pelajar dan alumni mempunyai peranan yang signifikan dalam membentuk reputasi universiti.
Budaya penyelidikan yang berkualiti, penerbitan berimpak tinggi, kolaborasi antarabangsa, inovasi pengajaran dan pembelajaran serta penglibatan industri merupakan antara faktor yang mampu meningkatkan daya saing universiti pada masa hadapan.
Dalam era persaingan global, universiti tidak boleh bergantung kepada kejayaan lampau semata-mata. Setiap cabaran perlu diterjemahkan kepada peluang untuk berinovasi, memperkukuh strategi dan mempercepatkan transformasi organisasi.
Sejarah pendidikan tinggi dunia menunjukkan bahawa banyak universiti terkemuka pernah mengalami turun naik dalam kedudukan mereka. Namun, universiti yang berjaya ialah institusi yang mampu belajar daripada cabaran dan bangkit dengan strategi yang lebih mantap.
Sesungguhnya, ranking hanyalah salah satu ukuran. Nilai sebenar sesebuah universiti terletak pada keupayaannya melahirkan graduan berkualiti, menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat, menyumbang kepada pembangunan negara dan mencipta impak yang berkekalan kepada komuniti.
Mesej utama yang dapat diambil daripada podcast University Ranking: Reality and Perception ialah keperluan untuk seluruh warga universiti menjadikan situasi semasa sebagai pemangkin kepada usaha yang lebih gigih, lebih strategik dan lebih berfokus.
Akhirnya, sesebuah universiti tidak ditentukan semata-mata oleh angka dalam ranking, tetapi oleh semangat dan iltizam warganya untuk terus memperbaiki diri serta mengejar kecemerlangan tanpa henti.
Dalam konteks ini, setiap cabaran merupakan peluang, dan setiap penurunan adalah ruang untuk kebangkitan yang lebih bermakna.
* Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf ialah Pengarah Bahagian Strategik dan Prestasi Korporat, UUM.