SEKTOR akuakultur merupakan antara penyumbang penting kepada bekalan makanan negara. Namun, industri ini sentiasa berdepan pelbagai cabaran seperti perubahan cuaca, kemerosotan kualiti air dan serangan penyakit yang boleh menyebabkan kematian ikan dalam tempoh singkat.

Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan hasil pengeluaran, malah mengakibatkan kerugian besar kepada penternak serta menjejaskan keterjaminan makanan negara.

Seiring perkembangan Revolusi Industri Keempat (IR4.0), penggunaan teknologi digital seperti Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) kini membuka ruang kepada kaedah pengurusan akuakultur yang lebih cekap, tepat dan proaktif. Antara inovasi yang sedang dibangunkan ialah projek penyelidikan An IoT-Enabled Temporal Early Warning System for Fish Health Management in Malaysian Aquaculture, iaitu sistem amaran awal pintar yang berupaya memantau kesihatan ikan secara masa nyata.

Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Kolej Perniagaan UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Ghozali Hassan berkata, sistem itu berfungsi seperti 'doktor digital' yang sentiasa memantau keadaan kolam ternakan tanpa henti melalui gabungan teknologi IoT dan AI.

- Advertisement / Iklan -

"Teknologi ini bukan sekadar merekod bacaan air, tetapi mampu menganalisis corak perubahan untuk meramalkan risiko yang bakal berlaku. Pendekatan ini membolehkan penternak bertindak sebelum keadaan menjadi kritikal," katanya.

Beliau berkata, sistem berkenaan menggunakan rangkaian sensor yang dipasang di kolam bagi memantau pelbagai parameter penting seperti kandungan oksigen terlarut, suhu air, tahap keasidan (pH), saliniti, kekeruhan dan kandungan ammonia.

- Advertisement / Iklan -

"Semua data yang dikumpulkan dihantar secara masa nyata ke platform pintar sebelum dianalisis menggunakan model AI yang dibangunkan khusus bagi mengenal pasti perubahan persekitaran yang boleh menjejaskan kesihatan ikan," katanya.

Menurut Mohamad Ghozali, kelebihan utama sistem tersebut ialah keupayaannya membuat analisis temporal yang membolehkan AI mengesan corak perubahan dan meramalkan risiko beberapa jam atau beberapa hari lebih awal sebelum keadaan air mencapai tahap berbahaya.

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan penternak ketika ini masih bergantung kepada pemerhatian secara manual atau bacaan ambang yang hanya menunjukkan masalah apabila keadaan telah menjadi kritikal.

No Image Caption

Katanya, dalam industri akuakultur, kelewatan beberapa jam sahaja boleh menyebabkan ikan mengalami tekanan, mudah dijangkiti penyakit dan akhirnya mati secara besar-besaran.

"Pendekatan proaktif seperti ini membantu mengurangkan kadar kematian ikan, sekali gus meningkatkan produktiviti ladang dan mengurangkan kerugian ekonomi penternak.

"Mereka boleh mengambil tindakan lebih awal seperti meningkatkan sistem pengudaraan, melaraskan pemberian makanan atau menukar air kolam sebelum keadaan menjadi lebih buruk," katanya.

Selain membantu meningkatkan hasil pengeluaran, Mohamad Ghozali berkata, pembangunan teknologi tersebut turut menyokong agenda keterjaminan makanan negara dengan memastikan pengurusan ladang dilakukan secara lebih sistematik dan berasaskan data.

Katanya, inovasi itu juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada kemampanan, inovasi dan kesejahteraan rakyat, selain menyokong amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui pengurusan kualiti air yang lebih bertanggungjawab.

Beliau berkata, usaha mempercepatkan transformasi digital dalam sektor agromakanan amat penting supaya industri akuakultur tempatan tidak terus bergantung kepada kaedah tradisional, sebaliknya mampu bersaing dengan negara-negara yang telah mengadaptasi teknologi pintar dalam pengeluaran makanan.

Penyelidik-pelajar dari UUM bersama penternak di kolam ikan Sg Emas Sungai Petani
Penyelidik-pelajar dari UUM bersama penternak di kolam ikan Sg Emas Sungai Petani

"Sekiranya berjaya divalidasi sepenuhnya dalam persekitaran ladang sebenar, sistem tersebut berpotensi menjadi model akuakultur pintar tempatan yang boleh diperluaskan penggunaannya ke seluruh negara.

"Malah, pembangunan teknologi seumpama ini turut membuka peluang kepada syarikat teknologi tempatan, penyelidik serta golongan belia untuk menceburi bidang agroteknologi yang semakin berkembang," katanya.

Mohamad Ghozali bagaimanapun berpandangan bahawa kejayaan inovasi tidak bergantung kepada teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti.

"Cabaran keterjaminan makanan tidak mampu diselesaikan secara bersendirian. Kerjasama strategik antara universiti, Jabatan Perikanan Malaysia, pemain industri dan komuniti amat penting bagi memastikan inovasi seperti ini dapat dimanfaatkan secara meluas.

"Masa depan makanan negara bergantung kepada keberanian kita melabur dalam inovasi hari ini. Dengan gabungan kepakaran penyelidikan, pengalaman industri dan sokongan dasar yang kukuh, kita mampu membina sektor akuakultur yang lebih moden, berdaya saing serta tahan krisis demi menjamin bekalan makanan untuk generasi akan datang," katanya.