Pelantikan baharu perkukuh kepimpinan IKIM
INSTITUT Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memperkukuh barisan kepimpinannya dengan pelantikan Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Haji Othman sebagai pengerusi baharu dan Datuk Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim sebagai timbalan pengerusi, berkuat kuasa 18 Jun 2026.
Surat pelantikan kedua-dua tokoh itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, dalam satu majlis di Putrajaya pada 3 Julai lalu bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato' Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan ketokohan, kewibawaan serta sumbangan besar kedua-dua tokoh berkenaan dalam dunia akademik dan pembangunan pemikiran Islam, khususnya dalam memperkasa bidang sains, teknologi serta pemikiran Islam di Malaysia.
Menurutnya, gandingan kepimpinan Mohd Yusof dan Ashraf diyakini mampu menerajui IKIM ke tahap yang lebih cemerlang, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai institusi pemikir yang mendukung agenda pembangunan ummah dan negara selaras dengan visi serta misi penubuhannya.
Mohd Yusof merupakan tokoh akademik dan cendekiawan negara yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang sains, tenaga boleh baharu, falsafah sains serta pemikiran Islam. Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang tenaga solar daripada University of Aston, United Kingdom (UK), selain Sarjana Sains dalam bidang fizik dari University of London, UK dan Ijazah Sarjana Muda Fizik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sepanjang kerjaya akademiknya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting di UKM termasuk Ketua Jabatan Fizik, Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi serta Pengarah Institut Islam Hadhari.
Tokoh Maal Hijrah 2006 itu juga aktif menyumbang kepada pembangunan dasar, penyelidikan dan pemikiran negara melalui pelbagai peranan strategik, antaranya sebagai Ahli Panel Majlis Perunding Islam Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Panel Pakar Falsafah Sains dan Felo Akademi Sains Malaysia.
Sementara itu, pelantikan Ashraf sebagai Timbalan Pengerusi IKIM merupakan pengiktirafan terhadap ketokohan dan kepakaran beliau dalam bidang Syariah, kewangan Islam, tadbir urus serta pembangunan rangka kerja kawal selia di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau yang merupakan profesor di Universiti INCEIF serta berpengalaman luas sebagai penasihat Syariah di peringkat antarabangsa telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan industri kewangan Islam menerusi bidang akademik, penyelidikan, konsultasi dan kepimpinan dalam pelbagai institusi strategik.
Ashraf memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh di University of Jordan serta memperoleh PhD dalam bidang Undang-undang Islam dari University of Birmingham, UK.
Pada majlis sama, tiga Ahli Lembaga Pengarah IKIM turut dilantik iaitu Datuk Haji Misnu Haji Taha (pelantikan semula), Tuan Haji Sakaria Samela dan Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir (pelantikan baharu).
IKIM turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pelantikan tersebut serta yakin pengalaman dan kepakaran barisan kepimpinan baharu itu mampu memacu institut berkenaan mencapai wawasannya sebagai sebuah institusi pemikir yang dinamik selaras dengan perkembangan teknologi, ekonomi dan politik negara.