Malaysia membina model ekonomi tahan krisis depani era baharu global
KETIKA dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin kompleks, termasuk risiko gangguan laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz, konflik antara kuasa besar serta peningkatan kos logistik global, Malaysia memperlihatkan satu ciri yang semakin penting dalam ekonomi moden: daya tahan (economic resilience).
Hakikatnya, kekuatan ekonomi sesebuah negara hari ini tidak lagi hanya diukur semata-mata melalui kadar pertumbuhan tahunan sahaja.
Sebaliknya, ia diukur melalui keupayaan negara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global, mempelbagaikan sumber pertumbuhan dan membina ekosistem ekonomi yang mampu bertahan dalam pelbagai keadaan.
Dalam konteks ini, Malaysia berada pada kedudukan yang semakin kukuh hasil pelaksanaan beberapa strategi penting yang sedang mengubah struktur ekonomi negara secara menyeluruh.
Menyusun semula rantaian bekalan serantau
Gangguan rantaian bekalan global (global supply chains) sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini telah menunjukkan bahawa kebergantungan berlebihan kepada laluan perdagangan tertentu boleh menimbulkan risiko besar kepada ekonomi sesebuah negara.
Menyedari realiti ini, kerajaan telah memulakan proses realignment of supply chain strategy dengan memberi penekanan kepada kerjasama serantau dan pengukuhan rangkaian perdagangan ASEAN.
Pembangunan hab logistik rentas sempadan melalui pembukaan dua lagi Pelabuhan darat yang baru di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis serta kerjasama yang lebih erat dengan Thailand dijangka mewujudkan koridor perdagangan darat yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada laluan maritim semata-mata.
Kepentingan Pelabuhan darat atau inland port ini bukan sahaja boleh memacu perdagangan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand, tetapi juga menghubungkan Malaysia dengan eropah melalui negara China dan laluan sutera atau silk road.
Langkah ini penting memandangkan perdagangan Malaysia pada tahun 2025 mencapai rekod tertinggi RM3.06 trilion, melepasi paras RM3 trilion buat pertama kali, peningkatan sebanyak 6.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Angka rasami dari MATRADE ini juga menunjukkan lebihan dagangan sebanyak RM151.80 bilion.
Prestasi ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia semakin bergantung kepada kecekapan rantaian bekalan dan akses pasaran serantau.
Perkara ini juga menjadi semakin kritikal dengan pertumbuhan pesat pasaran produk halal dunia serta eksport produk halal dari Selatan Thailand ke pasaran global yang banyak menggunakan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai the gateway port.
Oleh itu, pembangunan koridor ekonomi Malaysia-Thailand bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan strategik. Lebih penting, strategi ini selari dengan trend global yang menyaksikan syarikat multinasional mengamalkan pendekatan friend-shoring dan near-shoring bagi mengurangkan risiko geopolitik.
Revolusi Pusat Data (Data Centre) mampan
Sektor pusat data kini muncul sebagai antara pemacu pertumbuhan baharu ekonomi Malaysia.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, negara berjaya menarik pelaburan digital berskala besar daripada syarikat gergasi teknologi global termasuk Microsoft, Google, Amazon Web Services dan Oracle.
Pelaburan digital yang direkodkan dalam subsektor maklumat dan komunikasi sahaja menyumbang sebanyak RM152.9 bilion (dengan RM87.4 bilion di bawah inisiatif Malaysia Digital) kepada ekonomi negara berdasarkan data setahun penuh 2025.
Johor khususnya telah berkembang menjadi hab pusat data utama Asia Tenggara.
Menurut laporan industri oleh DC Byte pada separuh kedua 2025, kapasiti pusat data yang disahkan di Johor kini telah pun melonjak rasmi melepasi paras 1 gigawatt, dengan merekodkan sekitar 1,473 megawatt (1.47 GW).
Apa yang membezakan Malaysia daripada beberapa pesaing serantau ialah penekanan terhadap pembangunan pusat data yang lestari. Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri semakin memberi keutamaan kepada penggunaan teknologi penyejukan cekap tenaga, sistem kitar semula air, pengurangan pelepasan karbon serta integrasi tenaga boleh diperbaharui.
Malah, pelaburan Equinix bernilai lebih USD190 juta (lebih RM800 juta) untuk pembinaan pusat data baharu (KL2) kekal menggunakan teknologi liquid cooling yang direka khusus untuk menyokong aplikasi AI berprestasi tinggi dengan penggunaan tenaga yang lebih cekap.
Pembangunan pusat data mampan melalui integrasi teknologi penyejukan cekap tenaga, sistem kitar semula air, pengurangan pelepasan karbon, dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui memberikan kelebihan besar dalam meminimumkan pembaziran sumber utiliti serta mengoptimumkan kecekapan operasi pengiraan berprestasi tinggi.
Bagi Malaysia, inovasi ini bukan sahaja memacu kesan positif ekonomi dengan menarik pelaburan digital bernilai tinggi daripada gergasi teknologi global, mewujudkan peluang pekerjaan mahir, dan meletakkan negara sebagai hab digital utama Asia Tenggara, malah ia turut mempercepatkan pencapaian agenda kelestarian alam sekitar.
Gabungan teknologi hijau ini memastikan pertumbuhan pesat ekonomi digital negara berkembang seiring dengan perlindungan ekosistem setempat melalui penjimatan bekalan air domestik dan pengurangan jejak karbon yang signifikan demi merealisasikan sasaran aspirasi Sifar Bersih menjelang tahun 2050.
Daripada hab semikonduktor kepada hab Kecerdasan Buatan (AI)
Selama lebih lima dekad, Malaysia merupakan antara pemain terpenting dalam industri semikonduktor global.
Pada tahun 2024, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) negara mencapai RM601.2 bilion, mewakili hampir 40 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.
Namun kerajaan memahami bahawa masa depan ekonomi global bukan hanya terletak pada pembuatan cip, tetapi pada keupayaan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI).
Penubuhan National AI Office (NAIO) pada Disember 2024 menandakan peralihan penting dalam strategi pembangunan negara.
NAIO diwujudkan untuk menyelaras pembangunan AI nasional, membangunkan bakat tempatan, memperkukuh penyelidikan dan menggalakkan penggunaan AI merentasi sektor ekonomi.
Langkah ini memberi kelebihan strategik kepada Malaysia kerana AI dijangka menjadi antara penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi global sepanjang dekad akan datang.
Dengan gabungan kekuatan dalam semikonduktor, pusat data, pengkomputeran awan dan AI, Malaysia kini mempunyai peluang untuk muncul sebagai hab AI utama ASEAN.
Zon Ekonomi Bersama: Model baharu integrasi ASEAN
Satu lagi pencapaian penting kerajaan ialah kejayaan memperkukuh kerjasama ekonomi serantau melalui pendekatan yang lebih pragmatik dan berorientasikan hasil.
Penubuhan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) pada Januari 2025 menjadi contoh terbaik bagaimana Malaysia memanfaatkan kekuatan saling melengkapi dengan negara jiran. Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia dan Singapura menyasarkan sekurang-kurangnya 50 projek strategik dalam tempoh lima tahun pertama dan 100 projek dalam tempoh 10 tahun.
Inisiatif ini dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 20,000 pekerjaan mahir serta menarik pelaburan baharu dalam 11 sektor utama termasuk pembuatan maju, logistik, ekonomi digital, tenaga dan penjagaan kesihatan.
Gabungan JS-SEZ di selatan dan koridor ekonomi Malaysia-Thailand di utara bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat integrasi ekonomi paling strategik di Asia Tenggara.
Dalam era ekonomi yang semakin bersifat serantau, keupayaan menghubungkan pasaran Thailand, Malaysia dan Singapura merupakan kelebihan kompetitif yang sukar ditandingi oleh negara lain.
Kerjasama rentas sempadan antara Malaysia, Thailand dan Singapura justeru akan dapat memaksimakan potensi kekuatan ekonomi ketiga-tiga negara ini sekaligus meminimakan ancaman risiko global.
Sustainability Sebagai Strategi Ekonomi
Dasar ekonomi Malaysia kini menyaksikan anjakan paradigma yang besar melalui penerimaan bahawa agenda kelestarian (sustainability) bukan lagi sekadar tanggungjawab memelihara alam sekitar, sebaliknya telah diangkat menjadi strategi serampang dua mata bagi memacu ekonomi nasional.
Langkah ini dilihat sangat bertepatan memandangkan komuniti pelabur global hari ini meletakkan penilaian tadbir urus, sosial dan persekitaran (ESG) sebagai penanda aras kritikal sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan berskala besar.
Negara-negara yang gagal menyesuaikan diri dengan realiti baharu ini berisiko kehilangan daya saing di peringkat antarabangsa. Dalam perlumbaan pasaran pasca-pandemik ini, Malaysia terbukti berada pada landasan yang sangat tepat. Berdasarkan data rasmi setahun penuh bagi tahun 2025, negara berjaya melakar sejarah baharu dengan merekodkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara berjumlah RM426.7 bilion.
Angka luar biasa ini mencatatkan lonjakan pertumbuhan sebanyak 11.0 peratus berbanding pencapaian RM384.4 bilion pada tahun sebelum itu.
Sektor perkhidmatan terus kekal sebagai tulang belakang utama kepada pertumbuhan ini, di samping disokong oleh momentum kukuh sektor pembuatan bernilai tinggi yang berjaya menarik komitmen pelaburan sebanyak RM131.3 bilion, terutamanya menerusi kemasukan projek berimpak tinggi dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).
Apa yang menarik, profil pelaburan yang mengalir masuk ke dalam negara kini sebahagian besarnya tertumpu kepada sektor berteknologi tinggi dan berorientasikan masa depan. Antaranya termasuklah sektor ekonomi digital, pembangunan pusat data moden, projek tenaga bersih, teknologi hijau, serta perkhidmatan berasaskan pengetahuan.
* Prof Dr Hendrik Lamsali ialah Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Technology and Supply Chain Excellence Institute (TESCE), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, UUM
