UTeM buktikan keupayaan global, Lonjak kedudukan dalam THE Sustainability Impact Rankings 2026
UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa apabila melonjak ke kelompok 601-800 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026, berbanding kelompok 801-1000 pada tahun lalu.
Lebih membanggakan, UTeM turut berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia bagi Sustainable Development Goal (SDG) 1: Tiada Kemiskinan dan SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih, sekali gus membuktikan komitmen universiti itu dalam melaksanakan inisiatif pembangunan lestari yang memberi impak kepada masyarakat.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pencapaian itu memperkukuhkan kedudukan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal yang komited terhadap agenda pembangunan mampan di peringkat global.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut bukan sahaja meningkatkan reputasi UTeM di mata dunia, malah mengukuhkan keyakinan rakan industri, komuniti, agensi kerajaan dan institusi antarabangsa terhadap keupayaan universiti menerajui agenda kelestarian.
"Selain memperkukuhkan reputasi UTeM di peringkat antarabangsa, pencapaian ini membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik, penyelidikan serta jaringan kerjasama yang memberi manfaat kepada universiti dan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha berterusan UTeM mengintegrasikan elemen kelestarian dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi, tadbir urus serta penglibatan komuniti.
Katanya, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk memperkukuh penyelidikan berkaitan kelestarian, pembangunan kampus hijau dan cekap tenaga, program pemerkasaan komuniti serta kerjasama strategik bersama industri, agensi kerajaan dan rakan antarabangsa.
Massila berkata, peningkatan kedudukan itu membuktikan usaha UTeM dalam memperkasa agenda kelestarian semakin mendapat pengiktirafan di peringkat global.
"Ia juga mencerminkan keupayaan universiti menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan kesejahteraan alam sekitar melalui pendekatan pendidikan tinggi yang holistik, selain menjadi pemangkin kepada seluruh warga universiti untuk terus membudayakan amalan kelestarian dalam ekosistem kampus," katanya.
Beliau turut memaklumkan UTeM akan memperluaskan penyertaan dengan menghantar lebih banyak penilaian SDG kepada THE pada masa hadapan, di samping memperkukuh sistem pengumpulan serta pelaporan data kelestarian bagi meningkatkan prestasi penarafan universiti.
Selain itu, UTeM akan terus memperhebat penyelidikan berimpak tinggi, memperluaskan penggunaan teknologi hijau dan tenaga lestari di kampus serta mengukuhkan kerjasama bersama industri, komuniti dan institusi antarabangsa bagi menyokong agenda pembangunan mampan.
Menurut beliau, usaha berterusan itu selaras dengan aspirasi UTeM untuk terus muncul sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal yang unggul, berdaya saing dan menjadi peneraju dalam pembangunan kelestarian di peringkat nasional serta global.
