IKON seni suara negara, Datuk Syafinaz Selamat dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bagi penggal 1 April 2026 hingga 31 Mac 2028.

ASWARA dalam kenyataan pada Jumaat berkata, pelantikan itu menandakan permulaan fasa baharu buat institusi pengajian tinggi seni di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam usaha memperkukuh kecemerlangan pendidikan seni, budaya dan warisan negara.

"Pengalaman luas Datuk Syafinaz dalam industri kreatif dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi ASWARA dalam melahirkan lebih ramai graduan seni yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri," kata kenyataan itu.

 Mesyuarat Lembaga Pengarah ASWARA yang dipengerusikan beliau pada Khamis.
Mesyuarat Lembaga Pengarah ASWARA yang dipengerusikan beliau pada Khamis.

- Advertisement / Iklan -

Menurut kenyataan itu, pelantikan rasmi itu turut disusuli Mesyuarat Lembaga Pengarah ASWARA Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan beliau pada 25 Jun, selain Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada barisan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu.

ASWARA memaklumkan, barisan kepimpinan baharu itu menggabungkan tokoh daripada pelbagai bidang termasuk akademik, korporat, media dan industri kreatif bagi memperkukuh tadbir urus institusi serta memperluaskan jaringan strategik dengan pemain industri.

- Advertisement / Iklan -

"Antara yang dilantik ialah Pengurus Besar On Air Presentation (OAP), Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Kamaruddin Mape; Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris; serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures, Zainariah Johari.

"Turut menganggotai lembaga itu ialah Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmad Zainuddin, Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Azaini Abdul Manaf dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, selain Hazlan Abdul Aziz, Dayang Mariana Abang Bolhassan, Prof. Madya Dr. Hanif Khairi dan Sivanesan Nadarajah," katanya.

Menurut ASWARA, gabungan kepakaran daripada pelbagai sektor itu diyakini mampu memperkukuh pembangunan kurikulum, memperluas kolaborasi bersama industri serta memperkasakan ekosistem pendidikan seni negara.

Katanya, langkah tersebut selaras dengan aspirasi ASWARA untuk terus muncul sebagai institusi pendidikan seni, budaya dan warisan yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus melahirkan graduan berkualiti tinggi serta memenuhi kehendak industri kreatif yang semakin berkembang.